Tuesday, June 28, 2022

Tindakan diambil jika ADUN Pas belum dapat peruntukan negeri S’gor Tahun Baru Cina

Secara Rawak

SHAH ALAM: “Kalau kami masih belum menerima juga, dan jika ada ADUN lain yang kami difahamkan ada yang boleh menggunakan peruntukan ini, maka selepas Tahun Baru Cina ini kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk buat kenyataan rasmi,” kata Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi.

Sallehen selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas harian pada Selasa, memberi tempoh kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali agar memberi peruntukan negeri kepada wakil rakyat Pas sebelum mereka bertindak sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Sebelum ini Sallehen dilaporkan berkata bahawa Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) memaklumkan peruntukan tahun ini kepada wakil rakyat Pas dibekukan.

Azmin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Selangor sebelum ini menafikan pentadbirannya menyekat peruntukan tahunan RM800,000 itu.

Menurut beliau, kelewatan mungkin berpunca daripada masalah teknikal.

Menurut Sallehen, Pas Selangor bersama membentuk kerajaan negeri sekarang.

Pas menurutnya sedia bertemu Azmin dan mendengar penjelasannya berkaitan isu peruntukan tersebut, namun masih belum dapat berjumpa menteri besar mungkin kerana beliau sibuk.

Sallehen berkata, tujuan perjumpaan itu bukan untuk merayu, tetapi mahu mengingatkan Azmin berkaitan tanggungjawab dan semangat demokrasi. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru