Politik memerlukan komunikasi kerana tanpa komunikasi, politik adalah seumpama darah yang tidak berada dalam saluran pembuluh darah. Darah yang berada di dalam beg plastik biasanya tersimpan rapi di dalam peti sejuk, dingin dan tidak ke mana.

Kepada pemain politik, komunikasi politik yang sangat berkesan adalah dengan melontarkan propaganda. Dalam pengertian mudah, propaganda ialah salah satu bentuk komunikasi strategik dengan tujuan untuk mengubah persepsi dan seterusnya mengarah tingkah laku kumpulan sasar kepada matlamat yang diinginkan.

Bukan semua proganda berunsur negatif atau tidak bermoral, konteks propaganda itu ditujukan harus diambil kira. Sebagai contoh, kempen antimerokok menggunakan propaganda positif dengan menghadirkan tulisan berbunyi ‘merokok merbahaya untuk kesihatan’.

Apabila Azmin Ali, Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR membuat propaganda ‘tunggu sehingga saya ke Putrajaya’, seperti yang menjadi tajuk berita dalam sebuah portal berita pada 6 Februari 2018, ia sangat menarik untuk diperkatakan.

Azmin melambung kejayaan pentadbiran beliau di Selangor dan berkeyakinan ia boleh diulang jika beliau menerajui Putrajaya. Dengan menggunakan bajet negeri Selangor yang hanya berjumlah RM3.2 bilion dan boleh menghasilkan keputusan positif.

“Jika Selangor boleh buat, kenapa tidak Putrajaya” kata beliau di hadapan ahli-ahli Pahlawan, NGO yang mewakili veteran pasukan keselamatan.   Proganda yang dilontarkan oleh Azmin Ali itu bukan negatif atau tidak bermoral. Tidak salah mengangkat diri sendiri dan negeri Selangor yang beliau pimpin.

Masalahnya kontek propanganda itu dilontarkan. Orang akan bertanya siapa Azmin Ali? Apa kedudukan beliau dalam PH? Bukankah PH telah membuat ketetapan bahawa Dr. Mahathir yang akan menjadi PM sekiranya PH menang PRU14?

Adakah propaganda itu merupakan cara halus oleh Azmin Ali untuk meneruskan bantahan beliau terhadap keputusan PH memilih Dr. Mahathir sebagai bakal PM.

Yang jelas, propaganda Azmin Ali itu menunjukkan bahawa beliau adalah pemimpin de facto dalam PKR. Bukan Dr. Wan Azizah atau Anwar Ibrahim.

Pemilihan calon dalam beberapa siri PRU sebelum ini termasuk kontroversi pertandingan tiga penjuru di enam kerusi DUN dengan rakan kongsi mereka iaitu DAP semasa PRN Sarawak dikaitkan dengan peranan Azmin.

Azmin Ali sentiasa menganggap dirinya hebat. Tetapi  orang yang mengikuti perkembangan politik di Selangor tahu bahawa beliau bukanlah calon pilihan PKR

untuk jawatan Menteri Besar Selangor. Azmin Ali ialah calon PAS dan perkara itu telah menjadi sejarah.

Polisi utama kerajaan Selangor seperti pemberian air percuma, khidmat bas percuma dan pelbagai bantuan kepada golongan miskin telah diperkenalkan semasa Tan Sri Khalid Ibrahim lagi.

Jadi, apa sebenarnya pembaharuan yang dikaitkan dengan idea hebat Azmin Ali?

Sepanjang karier politiknya, Azmin Ali muncul sebagai pemimpin kerana simpati masyarakat terhadap Anwar Ibrahim, khususnya golongan Islamik yang berada dalam PKR. “Tanpa Anwar Ibrahim, siapa Azmin Ali?” demikian komen salah seorang pemerhati politik di Selangor.

Sikap Azmin terhadap Anwar dan keluarga Anwar saya fikir sedang diperhatikan dengan teliti oleh golongan Islamik dalam PKR yang masih lagi bernaung kepada kepimpinan Anwar.

Kepada golongan tersebut, propaganda yang dilontarkan oleh Azmin itu tidak salah. Tetapi jika konteks dan matlamat  propaganda itu adalah untuk kepentingan diri beliau sendiri dan mengenepi hasrat parti serta matlamat Anwar Ibrahim, bukan suatu perkara mustahil yang Azmin akan diturunkan kerusi Menteri Besar selepas PRU14 kelak.

Jika itu kemungkinan reaksi pendokong Anwar dalam PKR, bagaimana pula sikap Dr. Mahathir, pemimpin DAP dan Amanah terhadap Azmin Ali selepas ini?

Dari kaca mata pimpin PH, Azmin Ali telah berjaya mencipta satu jenama khas buat diri beliau sendiri, iaitulah ‘jenama lingkup’ (destructive brand). Azmin berpotensi melingkup atau memusnahkan impian pemimpin PH. — Sarawakvoice