Sarawak hantar lebih 400 anggota kontijen ke Sukma 2018

0
6

KUCHING: Sarawak akan menghantar lebih 400 orang anggota kontinjen ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak pada September ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata sungguhpun acara taekwondo, sepak takraw dan angkat berat telah digugurkan daripada sukan teras, Sarawak masih berharap agar kontinjen negeri itu akan meraih lebih banyak pingat emas menerusi acara sukan lain.

“Kami mengambil bahagian dalam semua acara sukan, kami tidak akan menghantar atlet bagi mana-mana sukan yang kami tidak yakin memperoleh pingat, kami mahu mereka menjadi juara.

“Kami menyediakan senarai yang agak baik, mudah-mudahan kontinjen kami berupaya mengulangi sejarah pada 1994 dengan menjuarai SUKMA sekali lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Antarabangsa kelima mengenai Sukan dan Psikologi Latihan 2018 di sini semalam.

Abdul Rahman turut mengumumkan Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan sebagai chef de mission kontinjen Sarawak ke SUKMA 2018.

 

​​​​​​​Abdul Karim berkata menerusi seminar Sukan dan Psikologi itu, beliau berharap para jurulatih akan memupuk budaya penyelidikan supaya menjadi lebih cekap dan berpengetahuan ke arah meningkatkan serta membangunkan industri sukan di Malaysia.

Acara dua hari itu yang bermula semalam dihadiri lebih 150 peserta dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia.v — BERNAMA