KUALA LUMPUR: Perebutan kerusi-kerusi di negeri Selangor ini tidak akan selesai biarpun Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini membuat kenyataan bahawa isu pembahagian kerusi di  negeri itu akan selesai, kata Penerangan UMNO Selangor Datuk Zein Isma Ismail.

“Apakah Dr Mahathir merasakan mereka ini semua akan tunduk kepadanya? Dr Mahathir perlu ingat, mereka ini adalah penentangnya,” katanya.

“Kewujudan PKR itu sendiri merupakan simbol penentangan terhadap beliau. Bukan mudah untuk beliau menyelesaikan isu pembahagian kerusi ini, kerana ianya gagal diberikan secara adil dengan permuafakatan bersama.

“Biarpun Dr Mahathir boleh membuatkan mereka bersetuju dengan pembahagian kerusi di peringkat pemimpin atasan, belum tentu lagi beliau mampu untuk memuaskan hati ahli dan para penyokong di peringkat bawahan,” ujarnya.

Malah, ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, Pakatan Harapan celaru dan penuh lawak apabila setiap kepimpinan parti membuat kenyataan yang saling bercanggah berhubung isu pembahagian kerusi yang masih tidak selesai,

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor sebelum ini  membuat kenyataan pedas kepada Parti Amanah Negara (PAN) menyebabkan kepemimpinan PAN membuat kenyataan balas dengan menyifatkan Menteri Besar Selangor itu bagaikan badut yang suka membuat lawak.

“Kita dapat lihat hari ini pemimpin pakatan harapan di Selangor buat kenyataan seorang ke utara, seorang ke selatan dalam soal pembahagian kerusi ini,”” katanya.

“Dan rakyat dapat melihat perbalahan dan percanggahan yang berlaku ini kerana mereka berbalah secara terbuka. Ini bagi saya petanda jelas, bahawa Pakatan Harapan di Selangor semakin lama semakin mengarut, apabila mereka sendiri mula berpecah belah dan bertelagah sesama sendiri hanya kerana semata-mata untuk berebut kuasa di peringkat DUN,” katanya seperti dipetik portal umno

“Rakyat perlu menilai, apakah begini tahap profesionalisme pakatan parti politik yang kita mahu berikan kuasa untuk memerintah negeri?

“Sebab itu kita dapat lihat, Selangor tidak membangun dengan yang sepatutnya di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Azmin Ali.

Kebajikan rakyat  terutama golongan berpendapat rendah juga tidak terjaga. Inilah akibatnya jika kita memilih parti politik yang tidak cekap mentadbir dan hanya tahu berpolitik adu domba sahaja,” ujarnya. — Sarawakvoice