KUCHING: Pengguna laluan di Lebuh Raya Pan Borneo diminta meningkatkan kewaspadaan dalam pemanduan berikutan beberapa kawasan di sepanjang jajaran lebih raya itu ditenggelami air dan runtuh.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keadaan itu berpunca daripada hujan luar biasa yang turun berterusan di kawasan tersebut.

“Ketika ini, kontraktor pakej kerja dan pasukan pengurusan lalu lintas berkenaan telah bersedia untuk membuka semula laluan kepada lalu lintas sebaik sahaja air surut.

“Perhatikan papan tanda arah, perlahankan kenderaan dan pandulah dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan lewat semalam.

Antara laluan yang terputus termasuklah Jalan Selangau-Tatau di Sungai Arip, kira-kira 132 km dari Sibu yang dinaiki air sedalam 1.2 meter.

Pada masa yang sama, laluan memotong selepas Stapang, lebih 50 km dari Sibu, runtuh.

Turut terjejas laluan ke SK Sungai Buloh, Selangau yang jalannya terputus dan berbahaya manakala sebahagian jalan di Genting Kopi, Jalan Pakan pula dilitupi tanah runtuh hingga membahayakan pengguna lalu lintas.

Sementara itu, sehingga jam 12 malam tadi, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri melaporkan lima insiden tanah runtuh dilaporkan kepada pihaknya semalam.

Tanah runtuh dilaporkan di Kampung Kejapil, Bekenu di Miri; Kampung Paya Megaliong (Limbang);  Rumah Mary Engkok Nanga Ijit dan Rukah Mary Ng (Julau) serta Kampung Siniawan (Bau). — Sarawakvoice