Thursday, September 29, 2022

Selepas melabel “lawak” dan “pembohong”, PH duduk semeja agih kerusi S’gor esok

Secara Rawak

TUDUH-MENUDUH dengan label “lawak” dan “pembohong” melibatkan ahli politik Parti Amanah Negara (Amanah) dengan Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali berkaitan agihan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, menggusarkan pakatan pembangkang itu.

Bagaimanapun, bagi isu mudah seperti itu, mesti ada salah satu pihak berkata benar berkaitan “proses agihan” kerusi berkenaan yang sudah dikatakan selesai 80 peratus menurut Menteri Besar Selangor itu.

Manakala, Amanah mengaku tidak mengetahui perkembangan perbincangan berkenaan.

Betapapun, atas nama pakatan, susulan bidasan terbuka antara Amanah dengan PKR di Selangor, Azmin dalam sepucuk surat bertarikh 5 Februari mengambil inisiatif memanggil mesyuarat empat komponen Harapan membincangkan rundingan kerusi pada esok, Rabu, 7 Februari.

Masing-masing setiap parti komponen diminta menamakan empat wakil parti masing-masing menghadiri mesyuarat tersebut.

PKR melantik timbalan pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin, anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian dan anggota Parlimen Subang R Sivarasa sebagai wakil parti menghadiri mesyuarat berkenaan.

Memetik Malaysiakini, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mengesahkan menerima surat tersebut.

Pua dilaporkan berkata, DAP melantik empat anggota sebagai wakil dalam jawatankuasa rundingan kerusi pilihan raya dan menegaskan pihaknya mahu penyelesaian segera dalam semangat Harapan dicapai.

Sebelum ini, PKR bertegas komponen Harapan sudah bertemu empat kali melalui Jawatankuasa Pilihan Raya Harapan Selangor.

Azmin yag juga Timbalan Presiden PKR pada Jumaat lepas mendakwa Amanah “berbohong” berkaitan status rundingan pembahagian kerusi bertanding bagi DUN Selangor itu.

Pemimpin Amanah Selangor Izham Hashim pula menganggap Azmin “melawak” kerana rundingan kerusi belum lagi bermula.

Pua pula berkata pihaknya tidak tahu-menahu berkaitan 80 peratus kerusi sudah dimuktamadkan.

Gambar fail

Zaid Sindir PKR Mahu Bolot Kuasa

Sehubungan isu agihan kerusi ini, mantan menteri yang juga bekas ahli Umno yang menyertai PKR, Datuk Zaid Ibrahim mengkritik PKR di Selangor.

Zaid yang menyertai DAP kemudiannya itu, mengulas di blognya bahawa yang berlaku ialah komponen pembangkang cuba bersaing sengit mendapatkan sebanyak mungkin kerusi untuk diri mereka.

“Semua yang mereka fikirkan hanyalah kepentingan kumpulan mereka kerana mereka semua percaya akan menang,” tulis Zaid dan menuduh PKR begitu ketara mahu menguasai Putrajaya.

Mahathir Yakin Selisih Faham PKR-Amanah Selesai

Sementara bagi Pengerusi Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau yakin perselisihan faham antara PKR dengan Amanah berhubung pembahagian kerusi di Selangor akan selesai.

Beliau memaklumkan bahawa pihak terlibat telah bertemu dengannya bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya selalu kata apabila ada rundingan antara banyak pihak, apabila kita dapati tidak ada satu pihak pun yang berpuas hati, bermakna kita adil. Parti kami (Bersatu) pun tak puas hati,” kata Mahathir.

Sementara, Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari, berkata hal yang berlaku selama ini ialah tiada pengerusi parti komponen kecuali dirinya yang hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya berkenaan, manakala yang lain hanya menghantar wakil.

“Kalau semua hadir, saya ingat dah selesai dah. (Memang) ada perbincangan. Mereka ada wakil. Kalau pengerusi empat parti hadir, saya ingat tidak ada masalah,” kata Abdul Rashid memberitahu pemberita dan mengaku Bersatu sendiri mahu bertanding di 12 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13.

Sementara, PKR sendiri bertegas mahu bertanding di semua 21 kerusi yang ditandinginya sebelum ini. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru