Tuesday, October 4, 2022

Dua mini kasino diserbu di Miri – Dev

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak melakukan dua serbuan di rumah kedai di Miri yang diubah suai menjadi pusat judi haram atau mini kasino pada awal bulan ini.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, serbuan  pertama dilakukan sekitar jam 5.55 petang pada 2 Februari lalu di tingkat atas sebuah premis alat ganti kereta di Krokop.

“Operasi yang diketuai Inspektor Nasrul Hadi Jahat itu menyaksikan pasukan serbuan terpaksa memecahkan pintu premis yang berkunci sebelum mencekup 13 lelaki berusia 21 hingga 59 tahun yang sedang berjudi “pai kow”.

Sejumlah tunai RM5,152 turut dirampas bersama-sama cip pertaruhan bernilai RM500 hingga RM1,000 selain pelbagai peralatan judi yang lain.

Serbuan kedua katanya, dilakukan dua hari kemudian, sekitar 12.30 pagi, juga di sebuah rumah kedai di Simpang Ngu, Niah, Miri.

“Pasukan yang diketuai Inspektor Mizlan Abdul Ghani berjaya mencekup 12 lelaki berusia 25 hingga 52 tahun yang juga leka bermain “pai kow”.

Sejumlah tunai bernilai RM2,455 dirampas selain cip pertaruhan bernilai RM50 hingga RM1,000.

Serbuan katanya lagi, turut dilakukan di dua tempat awam di Sibu dan Limbang yang membawa kepada penahanan lapan lelaki kerana bermain judi ‘holo’.

“Sejumlah tunai RM2,608 dan peralatan judi turut dirampas,” katanya lagi.

Jumlah tangkapan ini kata Dev lagi, adalah sebahagian daripada 63 individu yang dijaring Polis Sarawak selepas terbabit dengan pelbagai aktiviti perjudian sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari lalu.

Ia dilakukan menerusi 29 serbuan oleh 15 daerah tadbir polis, dengan 16 serbuan berkait judi 4D haram, sembilan judi siber, dua serbuan di rumah judi dan dua serbuan di tempat awam.

Tiga serbuan dilakukan di Padawan oleh anggota daripada ibu pejabat kontijen, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (5), IPD Kuching (4), IPD Sibu (3), Padawan (2), dan Sarikei (2).

Lain-lain kawasan yang melakukan satu serbuan masing-masing ialah IPD Bintulu, Betong, Kota Samarahan, Bau, Limbang, Marudi, Maradong, Kanowit, Julau dan Lubok Antu.

“Sembilan serbuan dilakukan di kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi yang menawarkan khidmat tambah nilai di Padawan, Kota Samarahan, Betong, Marudi dan Julau.

“Hasilnya, 12 individu dicekup manakala 12 telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM3,595 dirampas.

Pasukan daripada ibu pejabat kontijen turut melaksanakan tiga serbuan di Padawan, jelasnya lagi.

Kata Dev, 16 serbuan berkaitan jualan 4D haram dilakukan di sembilan daerah tadbiran polis yang membawa kepada penahanan 18 individu dan rampasan tunai berjumlah RM2,392.

Turut disita telefon bimbit, pencetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis.

Secara keseluruhan kata Dev, 48 suspek adalah lelaki dan kesemua mereka berusia di antara 16 hingga 68 tahun, termasuk tiga warga asing.

Kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru