SIBU: Tarik tali antara Parti Rakyat Bersatu (UPP) dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kelihatannya tidak akan berakhir dalam waktu terdekat.

Setidak-tidaknya berkaitan dengan dua kerusi majoriti Cina di tengah-tengah Sarawak: Lanang dan Sibu.

Kedua-dua kerusi terbabit dimenangi DAP pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Presiden UPP Datuk Seri Wong Soon Koh semalam berharap Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada parti berkenaan pada PRU nanti.

Ayam tambatan yang bakal dicalonkan UPP ialah anak Presiden Datuk Andrew Wong untuk kerusi Sibu dan Andrew Ting untuk Lanang.

“Jika diberi peluang mereka tentu akan bekerja kuat untuk lima tahun akan datang,” katanya seperti dipetik media tempatan hari ini.

Ahli Parlimen Bawang Assan itu dipetik sebagai berkata demikian dalam satu majlis anjuran UPP di Sungai Bidut di sini malam Sabtu lalu.

Andrew Wong dan Andrew Ting difahamkan turut hadir di majlis berkenaan

Soon Koh, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perniagaan berkata, kedua-dua mereka telah menggubal Rancangan Lima Tahun Untuk Sibu yang bakal membawa manfaat kepada penduduk di kawasan terbabit.

Sebelum ini SUPP juga turut menguar-uarkan nama calon mereka untuk kedua-dua kawasan terbabit.

Penganalisis politik berkata, jika berlaku sabotaj di kawasan terbabit, ini akan menyukarkan BN memenangi kerusi berkenaan.

BN dikatakan mempunyai peluang lebih cerah memenangi Sibu berdasarkan pola pengundian pada pilihan raya negeri Mei 2016. –Sarawakvoice