KUCHING: Mangsa ketujuh wabak Rabies telah meninggal dunia sekitar jam 4 petang semalam, memetik sumber Hospital Umum Sarawak.

Mangsa yang berusia 59 tahun dan berasal dari Jalan Batu Kawa-Matang menghembus nafas terakhir setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sejak 25 Januari.

Difahamkan, mayat mangsa telah pun dituntut keluarganya semalam untuk proses pengebumian.

Kes gigitan mutakhir ini disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah pada 27 Januari lalu selepas ujian makmal

mengesahkan jangkitan Rabies terhadap manusia pada 26 Januari.

Mangsa dikatakan mempunyai sejarah digigit anjing pada 27 November tahun lalu dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta di bandar raya ini pada hari yang sama tetapi tidak dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan untuk vaksinasi.

Pada 20 Januari, mangsa mengalami sakit serta lemah anggota kaki dan dimasukkan ke hospital swasta pada 24 Januari.

Keesokannya, kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan mangsa menunjukkan gejala hydrophobia, halusinasi dan agresif.

Sejak 30 Jun 2017 hingga 26 Januari 2018, terdapat tujuh kes

jangkitan Rabies di Sarawak dengan enam kes telah meninggal dunia manakala lagi kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik.

Susulan kes terakhir ini juga, klinik terlibat yang gagal melaporkan kes kepada Pejabat Kesihatan Bahagian telah menerima “surat amaran”.

Pengamal perubatan di klinik dan hospital swasta di Sarawak tegas Noor Hisham, diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pengendalian Kes Gigitan Anjing dan Haiwan Lain termasuk merujuk kes ke fasiliti kesihatan kerajaan. — Sarawakvoice