KUCHING: Usaha memerangi rabies atau penyakit anjing gila, yang berpunca daripada gigitan anjing, kini memasuki fasa seterusnya dalam usaha menghapuskan sepenuhnya penyakit itu di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri, berkata beliau telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (SVSD) supaya memberi suntikan vaksin bagi mencegah penyakit yang boleh membawa maut itu kepada semua anjing di kawasan terjejas dan tidak terjejas di seluruh negeri ini.

Katanya, sebelum ini, pemvaksinan hanya diberi kepada anjing di kawasan terjejas, tetapi pada mesyuarat semalam, keputusan diambil bahawa semua anjing di negeri ini perlu diberi suntikan itu dan urusan berkenaan akan diterajui SVSD.

Uggah berkata pemilik boleh membawa haiwan peliharaan mereka ke klinik veterinar untuk tujuan pemvaksinan dan beliau menasihati pemilik anjing supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka itu lepas bebas setelah diberi suntikan vaksin.

“Sasaran kami adalah untuk memastikan menjelang pertengahan bulan depan, sebahagian besar anjing di negeri ini sudah diberi vaksin dan ini merupakan KPI yang ditetapkan bagi SVSD,” katanya.

 

Beliau berkata pihak berkuasa juga akan terus mengawal anjing liar, terutama di kawasan terjejas, bagi membendung penularan penyakit anjing gila.

Sehubungan itu, Uggah meminta orang ramai mengawasi haiwan peliharaan masing-masing dan segera menghubungi SVSD sekiranya mendapati anjing mereka berkelakuan mencurigakan.

Beliau juga menasihati mereka yang digigit anjing supaya segera mendapatkan rawatan, manakala klinik dan hospital swasta pula digesa supaya segera merujuk kes gigitan anjing kepada pihak kesihatan kerajaan.

Uggah berkata langkah itu bertujuan membolehkan pesakit mendapat rawatan dan pemerhatian lanjut serta diberi vaksin pencegahan penyakit anjing gila bagi mengurangkan risiko penularannya.

Katanya, jabatan berkenaan juga perlu sentiasa memantau individu yang menjadi mangsa gigitan anjing untuk mengetahui perkembangan mereka serta segera membawa pesakit berkenaan ke hospital untuk dirawat.

 

Uggah berkata beliau yakin penyakit anjing gila boleh dikawal dan Sarawak memerlukan masa dua hingga tiga tahun untuk bebas daripada penyakit itu.

“Ini dapat dicapai sekiranya setiap orang memberi kerjasama sepenuhnya,” kata Uggah sambil menambah bahawa jawatankuasa pemandu itu akan bermesyuarat Isnin ini bagi menentukan langkah berikutnya yang perlu diambil untuk mengawal pergerakan haiwan (anjing), terutama dari kawasan sempadan.

“Kami wujudkan sebuah pasukan petugas bersama-sama pihak berkuasa di Kalimantan, Indonesia dan kami sentiasa berhubung,” kata Uggah.

Penularan penyakit anjing gila di negeri ini dipercayai berpunca daripada anjing liar di kawasan sempadan di Kalimantan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Sarawak mengesahkan satu lagi kes penyakit itu, yang melibatkan lelaki berusia 59 tahun dari Jalan Batu Kawa-Matang dekat sini.

Kes itu menjadikan kes manusia terkena penyakit anjing gila dilaporkan di negeri ini sejak 30 Jun tahun lepas berjumlah tujuh, lima daripada mereka meninggal dunia, manakala dua masih dirawat di Hospital Umum Sarawak di sini.

Sehingga kini, 6,158 kes gigitan anjing direkodkan di kawasan terjejas oleh penyakit anjing gila di seluruh Sarawak. –BERNAMA