Tuesday, May 11, 2021

Masih berbisakah Anwar bebas Jun ini, bantu PH hadapi PRU14 Julai?

Mesti baca

PEMIMPIN de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka bebas dari penjara 8 Jun depan.

Manakala, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi bayangan Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan sebelum musim haji, dijadual bermula Julai depan.

Mengulas situasi ini, meskipun Anwar tidak boleh bertanding menyertai PRU14, tetapi beliau mempunyai peluang untuk berkempen membantu kemenangan Pakatan Harapan (Harapan).

Dalam hal ini, sekali gus rakyat dapat melihat beliau beraksi sepentas mantan perdana menteri yang kini Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohama — tokoh yang menjadi sekutu hebat “tidur sebantal” dalam kerajaan sebelum krisis 1997 yang menjadikan mereka seteru ketat era reformasi.

Persoalan kini ialah adakah Anwar masih berkarisma dan menjadi faktor-x dalam perjuangan menghala dan memenangkan Harapan?

Anwar Banyak Pengaruh dan Bijak Pidato — Prof Nik Ahmad

Sehubungan isu ini, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pengaruh dan kelebihan Anwar dilihat bakal memberi kesan positif terhadap gabungan pembangkang itu.

Nik Ahmad berkata, jika Anwar bebas, Harapan ada kelebihan sebab Anwar banyak pengaruh dengan kebolehan beliau berpidato memberi kelebihan kepada Harapan.

Nik Ahmad menambah, “jadi kalau BN bimbang mengenai Anwar, mereka perlu buat PRU14 sebelum Jun,” ujarnya.

Beliau mengulas lanjut berkaitan bayangan tarikh PRU14 oleh Najib bahawa tarikh sebelum ibadah Haji adalah sesuai kerana, jika PRU14 berlaku pada musim haji, maka lebih 20,000 pengundi tidak dapat mengundi.

Bagaimanapun, Nik Ahmad yakin, tarikh sebenar PRU14 diisytiharkan adalah apabila BN berasa selesa dengan kedudukan mereka terutamanya apabila semua isu yang dapat membawa kesan kepada kemenangan BN telah diselesaikan sepenuhnya.

Sementara, berkaitan PRU14, Pas turut menyasarkan ia bakal berlangsung di antara Julai-September tahun ini.

Umno Tunggu dan Lihat Pengaruh Bersatu ke Atas Undi Melayu — Mohd Amar

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semuanya bergantung sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat mampu menggugat Umno dan “kacau” undi Melayu.

“Jika Bersatu dilihat boleh gugat Umno, maka PRU diadakan pada Julai, namun kalau mereka rasa yakin, PRU akan diadakan pada September,” kata Mohd Amar memberitahu Sinar Harian.

Mohd Amar berkata, UMNO sudah tahu kekuatan DAP, PKR dan Pas, tetapi mereka belum tahu Bersatu yang berpotensi merampas undi Melayu dan ia satu risiko.

Mohd Amar bagaimanapun sempat mendakwa Bersatu silap apabila menyertai Harapan kerana dilihat oleh Melayu bersekongkol dengan DAP.

Rafizi Dakwa Najib Kehabisan Modal

Sementara, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Najib sudah “kehabisan modal” mengadakan PRU14 pada bulan Julai sebelum Parlimen bersidang semula.

Alasan Rafizi, dengan perbahasan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ditunda sehingga sidang seterusnya Parlimen bermula 24 Julai, Najib tidak mempunyai pilihan, selain mengadakan PRU kerana tidak mampu terheret dalam isu ini.

Satu lagi isu yang mampu memecah-belahkan BN dan mahu dielakkan ialah Pindaan ke atas Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164.

Rafizi mengunjurkan kepada Malaysiakini bahawa, terdapat pelbagai jenis perayaan di Malaysia termasuk festival dan acara kebangsaan, memilih tarikh PRU bukan tugas mudah.

Sebelum 24 Julai, terdapat Hari Wesak pada 10 Mei; bulan Ramadan selama sebulan bermula pada 27 Mei; pesta menuai di Sabah dan Sarawak dari 30 Mei – 2 Jun; Hari Raya Aidilfitri 25 Jun dan Hari Sarawak 22 Julai. –Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru