Thursday, December 9, 2021

Tiga parah, dua cedera termasuk bayi empat bulan selepas Vios-Navara bertembung di Semukoi A

Secara Rawak

SERIAN: Tiga parah, dua cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 77, Jalan Kuching-Serian berhampiran Semukoi A di sini petang semalam.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden yang berlaku pada jam 3.30 petang itu melibatkan kenderaan Toyota Vios dan Nissan Navara.

“Siasatan awal mendapati, ia berpunca daripada kegagalan pemandi kenderaan Toyota Vios mengawal kenderaan ketika bergerak laju dari Kuching menuju Sri Aman lalu memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu Nissan Navara yang berada di laluan tersebut tidak sempat mengelak lalu berlaku pertembungan yang menyebabkan bahagian depan kedua-duanya remuk.

Kata Alexson, impak kemalangan menyebabkan pemandu Toyota Vios, iaitu lelaki Iban dari Sibu yang berusia 30 tahun parah.

Turut parah seorang penumpang yang dipercayai ahli keluarganya yang berusia 59 tahun.

“Seorang bayi berusia empat bulan yang berada di pangkuan ibunya di dalam kenderaan Nissan Navara juga parah, manakala pemandu dan isterinya yang masing-masing berusia 27 dan 18 tahun cedera.

Kesemua mangsa katanya, telah dikejarkan ke Hospital Serian sebelum pemandu dan penumpang Nissan Navara dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.

Pemandu dan penumpang Toyota Vios yang parah pula, telah dirujuk ke Pusat Rawatan Timberland (TMC), jelas Alexson.

Kemalangan yang berlaku di jalan satu lorong dua hala ini kini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987, bagi mengenal pasti puncanya.

Sehingga kenyataan dikeluarkan pihak polis, ahli keluarga kedua-dua mangsa masih belum tampil membuat laporan polis. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru