Tiga bas hidrogen bakal bergerak di bandar raya Kuching, beri manfaat kepada warga, pelancong

0
4

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri memutuskan penggunaan bas kuasa elektrik yang membabitkan kos  dianggarkan sekitar RM50 juta sebagai usaha meningkatkan pengangkutan awam di bandar raya ini.

Ketua Menteri berkata, langkah terbaharu itu akan memberi manfaat kepada orang ramai dan pelancong.

Katanya, berbanding bas menggunakan diesel, kosnya mungkin lebih tinggi, namun kerajaan negeri bersedia membantu menyalurkan  jumlah peruntukan  tertentu.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) mencadangkan bas di bandar ini ditukar di bawah syarikat konsortium bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

Namun, kerajaan negeri menolak cadangan berkenaan kerana bas terbabit menggunakan diesel.

Sarawak dijangka menerima tiga bas hidrogen pertama pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Menteri menjelaskan, stesen pengisian hidrogen akan akan dibina di Bintawa.

Bakal dapat direalisasikan dalam tempoh tiga tahun, Abang Johari berkata, perkhidmatan bas berkenaan adalah lebih cekap.

“Perkhidmatan bas berkenaan adalah lebih bersih, dan bandar raya juga bersih. Kita akan laksanakan dalam tempoh tiga tahun,” katanya, sambil menambah bahawa ia bakal memberi perkhidmatan lebih baik kepada para pelancong.

“Kita sedia bantu dari segi kewangan bagi melaksanakan pengangkutan awam mesra alam kerana ia kini menjadi trend,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan presmis baharu agensi pelancongan Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd di sini, semalam. — Sarawakvoice