Tuesday, August 16, 2022

Sabah merdeka dalam M’sia, diiktiraf PBB, perbincangan tuntutan tidak dilayan — Anifah

Secara Rawak

BENAR, tiada keperluan bagi Malaysia melayan permohonan pihak tertentu yang mahu berbincang berkaitan tuntutan mereka ke atas Sabah di peringkat antarabangsa kerana ia sama seperti mengiktiraf tuntutan mereka.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata bahawa Sabah merdeka dalam Malaysia dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semenjak 1963.

“Memang tidak ada isu untuk dijawab atau dibincangkan. Pendirian kerajaan Malaysia konsisten bahawa kita tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap Sabah,” kata Anifah  pada program Perjumpaan Menteri Luar Negeri Dengan Media pada Jumaat.

Anifah yang juga Anggota Parlimen Kimanis mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang di Sabah termasuk anggota Parlimen yang mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia tidak melakukan sesuatu bagi menyelesaikan isu tuntutan berkenaan.

Sewajarnya, meskipun mereka berjiwa pembangkang, mereka sepatutnya bersifat patriotisme mempertahanakan kedaulatan Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia yang merdeka.

Anifah menegaskan dalam beberapa perjumpaannya dengan bekas setiausaha luar Filipina, beliau menolak sama sekali berbincang berkaitan tuntutan berkenaan dengan pemimpin Filipina itu.

Ketegasan Anifah harus dipuji kerana berani memuktamadkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah.

Anifah mempersoalkan bagaimana isu tersebut mahu dibangkitkan kembali ketika pilihan raya umum akan berlangsung.

Di sini, menunjukkan betapa bahayanya musuh dari luar, tetapi yang sukar diramalkan ialah “musuh dari dalam”

“Apakah ada pihak cuba menghantar mesej kepada kita atau pemimpin tertentu atau sesetengah pemimpin?” tanya beliau.

“Atau apakah ini isyarat yang sokongan mungkin ke satu arah? Ini yang agak membimbangkan saya,” ujar Anifah.

Berbanding dengan Sarawak yang tiada UMNO di dalamnya, Sabah yakin dapat bersuara dari dalam UMNO sebagai anggota parti tersebut.

Mereka dapat menyuarakan isu dan hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dari dalam UMNO sendiri.

Sama seperti disuarakan Allahyarham Pehin Seri Adenan Satem semasa beliau berkuasa sehinggalah Ketua Menteri keenam Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengambil alih tampuk kerajaan negeri, Anifah turut meletakkan: “Satu-satunya perdana menteri yang memperakui hak Sabah ialah Najib,” ujar Anifah.

Anifah mengaku berasa sangat senang dan mengaku mengenali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Anifah, Najib berjanji sedia mengembalikan mana-mana hak Sabah yang belum dilaksanakan kepada rakyat Sabah. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru