Operasi curi tanah di Julau tumpas, polis cekup 8 individu

0
13

JULAU: Pasukan Polis Marin Wilayah Lima dan Jabatan Tanah dan Survei Sarikei semalam berjaya melumpuhkan satu kegiatan mencuri tanah secara “terang-terangan” di kawasan Sungai Emperan, Nanga Lassi, dekat sini.

Komander Polis Marin Wilayah Lima, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 11.13 pagi oleh sepasukan empat anggota polis dan lima kakitangan tanah dan survei.

“Ketika serbuan dilakukan, lapan pekerja sedang melakukan rompakan siang hari itu menggunakan sebuah jentera Kobelco, sebuah jentera Caterpillar, lima kenderaan lori Mitsubishi Fuso dan sebuah kenderaan lori Nissan.

“Tepat seperti maklumat risikan, tindakan pasukan serbuan melakukan pemeriksaan terhadap kerja-kerja pengorekan tanah itu berjaya menbongkar bahawa ia dilakukan tanpa permit yang sah daripada Jabatan Tanah dan Survei.

Semua suspek kata Salehuddin, ,telah ditahan manakala jentera dirampas di bawah Kanun Tanah Negeri.

Satu laporan polis juga dibuat di Balai Polis Bintangor untuk membolehkan penguat kuasa Jabatan Tanah dan Survei Sarikei membuka kertas siasatan.

Nilai kompaun terhadap rampasan aset dianggarkan RM83 ribu, tambahnya lagi. — Sarawakvoice