Wednesday, December 7, 2022

JAKIM tidak berperlembagaan: Perkasa bidas kenyataan Ku Li

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tuduhan konon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak berperlembagaan yang dibuat oleh pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah boleh menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan JAKIM selaku organisasi utama yang memajukan Islam dan pengurusan hal ehwal Islam dalam negara ini.

Menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah, JAKIM berperanan penting dalam memelihara dan melindungi Islam sesuai dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dan peranan untuk menjaga status itu terletak juga di Jabatan Perdana Menteri.

“Di samping itu, JAKIM diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan perkara penting di antara agensi kerajaan yang berbeza fungsi dan peranan melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Antara tugas penyelarasan JAKIM ialah dalam konteks perundangan dan kehakiman, pendidikan dan urus tadbir Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Ku Li sebelum ini dilaporkan sebuah portal, yang berkata, eksploitasi politik ke atas Islam biasanya dilakukan pemimpin yang tiada asas agama dan ia termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan JAKIM, iaitu sebuah jabatan khas di bawah kerajaan pusat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi Perkasa memberitahu, Ku Li sepatutnya menimbulkan perkara itu sejak dari dahulu lagi, tetapi kenapa baru sekarang ditimbulkan.
Katanya, JAKIM yang tidak berperlembagaan adalah hasil cubaan UMNO untuk menjadi lebih Islam daripada saingan utamanya, Pas.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipertikaikan dan Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju menaik taraf Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri menjadi sebuah Jabatan berkuatkuasa 1 Januari 1997 dengan nama JAKIM.

“Jadi penubuhan JAKIM berpunca dari Mesyuarat Jemaah Menteri dan Parlimen Malaysia. Kenapakah ia dianggap tidak berperlembagaan?

“Seyogia Perkasa ingin mengingatkan tuduhan JAKIM tidak berperlembagaan adalah penggulangan tohmahan yang dilakukan oleh Kumpulan 25 atau G25.

“Ku Li seharusnya cermat dan teliti dalam tindakan serta ucapannya apabila mengkritik dan membuat tuduhan kepada pihak JAKIM. Ini kerana, Ku Li dikenali sebagai tokoh berhemah dan istiqamah,” katanya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru