Wednesday, November 30, 2022

‘Bukan vetti pecchu, tetapi nijam,’ kata Najib

Secara Rawak

Sebagaimana dijanjikan, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan kunjungan ke kawasan Kuala Selangor sempena sambutan Hari Thaipusam baru-baru ini.

Sekali lagi Najib membuktikan yang beliau mengotakan apa yang dijanjikan.
Perkembangan ini sekali gus mengetepikan tanggapan sesetengah pihak khususnya pembangkang bahawa kepimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN) hanya menabur janji tetapi tidak ditunaikan. Wajah masyarakat Kuala Selangor yang ceria sepanjang kehadiran beliau membuktikan perkara ini.

Pemimpin-pemimpin tempatan kalangan masyarakat India sendiri mengakui bahawa Perdana Menteri mengotakan apa yang beliau telah janjikan dua tahun lalu yang beliau akan kembali ke Kuala Selangor untuk mengotakan permintaan mereka sebelum ini.

Semangat cerita mereka jelas terpapar pada wajah mereka.

Selaku Ahli Parlimen Kuala Selangor saya sendiri menyaksikan detik menarik ini. Apa yang disaksikan ini antara contoh janji-janji Najib dan Kerajaan BN terus ditunaikan.

Sejak menjadi Perdana Menteri sembilan tahun yang lalu, beliau tidak putus-putus melakukan yang terbaik demi kepentingan orang ramai, tidak kira kaum dan agama.
Keramahan dan keterbukaan Perdana Menteri mendengar masalah kaum India dan berbahasa Tamil walaupun sedikit memperlihatkan sifat kepimpinan beliau.

Beliau juga memperlihatkan komitmen yang padu untuk membawa Malaysia ke mercu dunia. Kehadiran beliau membuktikan kawasan parlimen Kuala Selangor tidak terpinggir daripada arus pemodenan negara.

Kuala Selangor mempunyai sejarah Kesultanan Selangor dan warisan alam semula jadi seperti klip-klip dan ‘sky mirror’.

Dalam ucapannya, Najib menekankan agenda penting kerajaan BN untuk meningkatkan taraf hidup dan memajukan masyarakat India di negara ini adalah satu usaha berterusan.

Perdana Menteri juga memberitahu perkara itu tidak boleh dicapai dalam tempoh sehari dua kerana ia bukan sahaja melibatkan soal pembangunan fizikal malah perubahan struktur kehidupan kaum berkenaan.

“Mengubah sikap dan nilai serta mengukuhkan asas masyarakat India adalah satu usaha berterusan.

Saya juga bersetuju dengan ucapan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam bahawa masyarakat India akan lebih maju ke hadapan sekiranya mereka mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Kata beliau, “ini cabaran yang kita hadapi tetapi saya yakinkan anda bahawa dengan kerajaan BN, ada harapan untuk kita. Apa yang kita perlukan adalah sokongan dan kepercayaan anda untuk membolehkan kerajaan BN memberi yang terbaik.”

Seperti kata Najib, yang juga Pengerusi BN ini, “kita bukan omong-omong kosong.” Atau dalam Bahasa Tamil ‘vetti pecchu’. Sebaliknya ia adalah kenyataan atau ‘nijjam’.

“Kami (Kerajaan BN) akan menunaikan apa sahaja yang kami janjikan kepada semua rakyat Malaysia…ini jaminan kerajaan BN,” kata Najib ketika berucap pada majlis sambutan perayaan Thaipusam.

Najib sekali lagi membuktikan bahawa beliau sebenarnya Perdana Menteri kepada semua kaum di Malaysia. Bukan satu kaum tertentu sahaja meskipun beliau juga Presiden UMNO.

Rekod pentadbiran Najib sejak April 2009 menunjukkan BN di bawah kepimpinan beliau melakukan segala yang terbaik lagi konstruktif demi kepentingan rakyat negara ini. Sebab itu sebaik diberi amanah sebagai perdana menteri beliau memperkenalkan slogan “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Makna slogan ini terus dikotakan menerusi pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti demi kepentingan rakyat.

Agenda kerajaan BN dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat India diterjemahkan menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan April lalu.

Najib juga telah mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India, yang dikendalikan menerusi Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India, peruntukan RM50 juta untuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan dana RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah-sekolah Tamil.

Kerajaan Pusat turut mengumumkan inisiatif baharu yang mana Permodalan Nasional Berhad akan membuat pengagihan khas RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.

Semasa beliau di Kuala Selangor Najib juga memberitahu yang beliau akan melancarkan Skim Pelaburan khas untuk golongan isi rumah B40 yang akan menambah simpanan 100,000 isi rumah B40 kaum India, khususnya yang berada di bawah garis kemiskinan pada bulan ini.

Rakyat yang merasai projek di bawah kepimpinan Najib sejak tahun 2009 sedia maklum yang setiap janji terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Malah yang tidak dijanjikan juga diumumkan menerusi pelbagai platform termasuk dalam bentuk bajet tahunan.

Ini yang dilakukan oleh Kerajaan BN di bawah pimpinan Najib. Tidak ada masyarakat yang tertinggal atau tercicir daripada arus pembangunan kerajaan pimpinan BN. Setiap kawasan di bumi Malaysia terus menikmati limpahan kemajuan dan pembangunan.

Selaku wakil rakyat dari Parlimen Kuala Selangor, yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, saya yakin BN mampu membawa kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan berterusan. Ini harapan semua. BN memerlukan satu platform yang kuat untuk membawa lebih banyak projek berfaedah kepada rakyat. Ini harapan saya.

Kerajaan BN tidak pernah mengecewakan sesiapa pun. Kehadiran pemimpin-pemimpin BN termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Batu Caves untuk bersama rakyat semasa sambutan Thaipusam menunjukkan rakyat tidak kira kaum dan agama akan terus dibela dengan membina jalinan silaturahim dan perpaduan. BN menjadi harapan semua.

Rakyat menjadi harapan untuk kesinambungan pentadbiran yang stabil dan sejahtera.

Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor Merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru