ANDA mungkin terlepas menyaksikan peristiwa langka Super-Blood-Blue Moon yang hanya berlaku selepas 152 tahun silam pada Rabu lepas kerana sibuk atau cuaca tidak mengizinkan.

Namun, sepanjang 2018 ini anda masih dapat menyaksikan beberapa lagi peristiwa istimewa berkaitan bulan termasuk Supermoon, Bluemoon atau Redmoon dan lainnya.
Walaupun tidak seistimewa peristiwa 31 Januari lepas 3-dalam-1, fenomena secara terpisah ini masih dapat diabadikan untuk diintip di langit tinggi khususnya pada malam bercuaca baik.

Sebagai panduan mudah, terdapat beberapa kalendar berbentuk grafik beredar di media sosial memudahkan panduan bagi peminat fenomena bulan di langit termasuk fenomena komet atau astroid

Antaranya seperti grafik kalendar di bawah yang memaparkan tarikh dan peristiwa fenomena bulan dan aktiviti berlaku di langit bagi 2018.

Sementara, bagi pemerhati serta peminat tegar astronomi, anda juga boleh meninjau laman sesawang http://www.seasky.org/astronomy/astronomy-calendar-2018.html bagi mengetahui lebih banyak aktiviti berlaku di langit malam untuk sepanjang 2018.

supermoon

Bahkan, www.seasky.org memaparkan secara lebih terperinci atau detail peristiwa berlaku di langit termasuk feneomena berlaku di dasar laut.

Lebih menarik laman sesawang berkenaan menyediakan jadual bagi fenomena yang berlaku di langit malam sehingga 2030 serta fenomena di dalam dan laut.

Namun, tompokan awan tebal dan hitam di langit menutup kemunculan jelas fenomena yang bermula dengan “Supermoon” atau “Perigee” iaitu saiz bulan kelihatan lebih besar dan terang berbanding purnama biasa.

Saiz bulan tidak pernah berubah, fenomena ini berlaku kerana bulan berada paling hampir dengan Bumi pada titik peredarannya iaitu sekitar 358,993 kilometer berbanding masa lain iaitu 360,000 kilometer dari Bumi.

Petang 31 Januari, kami berada di Selang Ulu, Jalan Telaga Air bersama pelajar madrasah yang akan mendirikan solat sunat dan khutbah gerhana sekitar 9.30 malam.

Di ufuk timur, bulan muncul awal sekitar Maghrib namun “tertimbus” oleh tompokan awan putih dan hitam yang tebal seperti menunjukkan hari hendak hujan.
Seawal 7.45 selepas Maghrib, “Supermoon” sudah kelihatan beberapa minit sebelum ditutup semula awan.

Kami dapat melihat pergerakan bulan dengan jelas melalui aplikasi StarTracker di telefon pintar.

Begitulah serusnya, kerana awan yang tebal, di kawasan lain di Kuching turut tidak kelihatan kelibat bulan seperti diberitahu rakan-rakan yang dihubungi melalui telefon.

Bloodmoon di Langit Jakarta

Memeriksa portal dan laman sesawang, laporan berita mendapati langit di sekitar Jakarta Pusat, Indonesia juga berawan tebal sehingga menyembunyikan bulan yang sudah gerhana dalam situasi “Bloodmoon” ketika itu.

Menurut laporan BBC, di Solo hujan yang rintik-rintik mengguyur deras membuat fenomena gerhana bulan “total tak terlihat”.

Sementara di Pekanbaru, Riau fenomena gerhanan ini terlihat cukup jelas dengan warna kemerahannya.

Turut terakam ialah Supermoon dengan latar belakang lambang Olimpik ketika Bulan “melewati” kompleks Olimpik Musim Dingin 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan.

Nah, sehingga selesai Isya di madrasah, Bloodmoon pun muncul dalam bentuknya yang samar-samar sambil disembunyikan “hilang-datang” awan tebal yang bergerak pantas di langit tinggi di Selang Ulu itu.

Fenomena Bloodmoon berlaku apabila Matahari, Bumi dan Bulan berada dalam kedudukan selari sehingga cahaya matahari tertutup oleh Bumi untuk memancarkan cahayanya pada Bulan apabila dilihat dari satu-satui kedudukan Bumi pada satu-satu ketika.

Di langit tinggi tergantung bulan yang samar-samar yang ketika itu sudah “berdarah” menerima bayangan dan biasan Bumi dari pancaran Matahari.

Kemuncak gerhana berlaku sekitar 9.30 malam sehingga 10 malam di Kuching.
Ketika inilah Bulan sudah keluar dari jajaran awan tebal dalam bentuk gerhana yang terang tetapi Bloodmoon sudah berakhir.

Gerhana di Tebingan Kuching

Di Tebingan Kuching sempena Super-Blood-Blue Moon, Planeterium Sultan Iskandar (PSI) Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak mengadakan cerapan gerhana bulan yang disertai wartawan dan orang awam yang lalu-lalang di situ.

PSI menyediakan dua teleskop membolehkan orang ramai menyaksikan fenomena ini dengan jelas.

Kurator PSI Ismandy Ali berharap program itu mampu menarik minat orang ramai terhadap bidang astronomi memerhati fenomena gerhana.

Turut berlaku Fenomena “Bluemoon” iaitu berlaku dua kali purnama (bulan penuh) mengikut kalendar Gregorian; purnama pada 1 Januari lepas dan sekali lagi purnama pada 31 Januari pada malam itu.

Di madarasah di Selang Ulu, solat sunat dan khutbah gerhana baru sahaja selesai, kini para pelajar ke padang luas memerhati bulan yang berada dalam situasi gerhana penuh dengan penuh menginsafi kebesaran Allah.

Super Blue Blood Moon di Semenanjung

Menurut Bernama, hujan membasahi Kuala Lumpur sejak sejak petang, menyebabkan ratusann manusia yang berkumpul di Planeteraium Negara Kuala Lumpur tidak berkesempatan melihat gerhana tersebut kerana kelompok awan menutupi bulan.

Planetarium Negara menyiarkan sesi secara langsung fenomena itu dari Balai Pencerapan Griffith, Nasa selama kira-kira 30 minit selain menyiarkan penampakan gerhana itu dari Balai Cerap Kebangsaan Langkawi.

Di Putrajaya, ratusan penduduk serta jemaah berkumpul di pekarangan Masjid Putra bagi menyaksikan kejadian cakerawala itu melalui cerapan menggunakan enam teleskop berkomputer yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Bagaimanapun, cuaca hujan sejak lewat petang menyebabkan fenomena tersebut hanya dapat disaksikan sehingga melepasi waktu kemuncak 9.29 malam.

Masjid Putra turut mengadakan solat sunat gerhana selepas solat Isyak yang sebelumnya didahului dengan ceramah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Majlis diakhiri dengan bacaan Khutbah Khas berkenaan gerhana bulan yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra Datuk Abd Manaf Mat.

Di Terengganu, sekitar 1,000 orang mengunjungi Dapo Pata, Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus dan membanjiri kawasan pantai sejak 7 malam bagi melihat fenomena gerhana itu.
Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menerusi Insititut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) menganjurkan program Jom Teropong Bulan, membuka peluang kepada pelajar dan masyarakat setempat menyaksikan cerapan fenomena gerhana bulan penuh.

Gerhana Peringkat Global

Di peringkat global, gerhana bulan berlaku di Timur Eropah, Timur Afrika, Asia Malaysia, Australia dan Amerika Utara untuk tempoh 5 jam 17 minit, bermula 6:51 petang hingga 12:08 tengah malam.

Di sesetengah tempat di bahagian dunia, fenomena ini dapat disaksikan dengan jelas, sementara ramai yang kecewa kerana awan tebal di langit dan cuaca tidak mengizinkan. –Sarawakvoice