Tuesday, August 16, 2022

Dua jam untuk respons semua aduan Pan Borneo, termasuk timbus jalan berlubang — Fadillah

Secara Rawak

KUCHING: “Kami telah tetapkan masa respons hendaklah tidak lebih daripada dua jam,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf berhubung setiap aduan dan laporan mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Menurutnya, prosedur itu ditetapkan susulan tindakan pihaknya membuka pintu aduan kepada orang ramai menerusi media sosial, termasuk facebook dan email.

“Kita terbuka kepada semua jenis aduan dan kesukaran, tidak kira daripada siapa,” katanya selepas mempengerusikan sidang meja bulat dengan semua pihak yang terlibat dalam pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di sini semalam.

Jelasnya, jika ada aduan mengenai lubang dan keadaan jalan, tindakan segera akan diambil serta-merta untuk menanganinya, termasuk menimbus.

“Tetapi jika aduan mengenai struktur, ia akan mengambil sedikit masa, kerana kita perlu memohon bajet.

“Sejumlah RM6 juta diperuntukkan untuk tujuan pemulihan struktur,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, semua kontraktor terlibat termasuk rakan kongsi swasta juga diminta untuk menyediakan pasukan bantuan khas di setiap jajaran mereka bagi membantu mana-mana pengguna jalan yang kenderaan mereka rosak mahupun terlibat kemalangan.

“Pada masa yang sama, saya menyeru pengguna jalan agar berhati-hati ketika memandu di sini, berikutan permukaan jalan yang masih belum rata dan selamat,” jelasnya.

Aduan mengenai projek ini boleh menghubungi akaun facebook Pan Borneo Highway Sarawak; twitter @PanBorneoSwak; instagram panborneohighwaysarawak dan laman sesawang wwwm.panborneo.com.my.

Semua pihak yang terlibat termasuk beliau sendiri akan menjawab segala kemusykilan pengguna, jelasnya.

Menjawab soalan wartawan mengenai tahap keselamatan laluan tersebut, Ahli Parlimen Petra Jaya itu menjawab, pihaknya tidak menafikan berlakunya kemalangan di beberapa lokasi.

“Semakan daripada pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan menunjukkan ia bukan disebabkan keadaan jalan, tetapi kecuaian pemandu yang memandu laju,” jelasnya lagi.

Keseluruhan pakej Lebuh Raya Pan Borneo ini dari Sematan ke Lawas dijangka siap pada tahun 2020. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru