Taib yakin Abg Johari mampu bawa S’wak capai status negeri maju berpendapatan tinggi 2030

0
4

KUCHING: Kebijaksanaan kepimpinan negeri dengan usaha pembangunan yang dilaksanakan, diyakini mampu membawa Sarawak mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud percaya Sarawak kini berada di landasan tepat membina masa depan yang cemerlang.

Beliau memuji usaha gigih dan besar kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg serta barisan kabinet beliau mengutamakan kepentingan rakyat dalam rancangan pembangunannya.

Menyampaikan amanat beliau pada Sidang Khas sempena Ulang Tahun Ke-150 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa, Taib berkata usaha gigih ini bakal melakar prestasi ekonomi Sarawak yang progresif.

Taib yakin ekonomi Sarawak mengalami lonjakan mega melalui inisiatif ekonomi digital yang mampu memberi dimensi baharu kepada aktiviti ekonomi Sarawak.

Menurut beliau, kepimpinan berwawasan Abang Johari yang peka dengan perkembangan ekonomi semasa dunia seperti gagasan ekonomi digital, membuka banyak peluang bagi generasi muda terlibat dalam keusahawanan.

Taib menyeru generasi muda Sarawak lebih kreatif dan inovatif sesuai dengan tuntutan era digital serta bersedia merebut peluang tersedia dalam teknologi digital.

Beliau mengingatkan pada era digital, cara hidup dan cara bekerja manusia berubah rentak, justeru generasi muda perlu berdiri dengan kekuatan dan jati diri dalam mengejar pembangunan.

Taib memuji ketekunan Abang Johari menggunakan pendekatan baharu membangunkan Sarawak melalui inisiatif penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Petroleum Sarawak Berhad (Petros) serta Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Bagi beliau usaha Abang Johari ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Sarawak yang lebih cerdas dan cergas. — Sarawakvoice