Abang Jo: Pendekatan baharu perlu dicari tingkatkan pendapatan, kualiti hidup penduduk luar bandar

0
6

KUCHING: Kerajaan negeri perlu merumuskan pendekatan dan cara baharu  bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti kehidupan penduduk di luar bandar di negeri ini, kata Ketua Menteri.

Datuk Patinggi Abang Johari berkata, usaha mentransformasi kawasan luar bandar penting bagi memastikan penduduk terbabit terus kekal di luar bandar, sekali gus mengekang penghijrahan mereka ke bandar.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan ucapan Yang di-Pertua Negeri sempena ulang tahun ke-150 Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, semalam.

Dalam memajukan kawasan luar bandar, katanya, kerajaan berusaha memodenkan dan mengkomersialkan sektor pertanian dengan pembabitan sektor swasta yang lebih giat, selain menerapan aplikasi teknologi.

Itulah sebabnya, ujar Abang Johari, beliau menekankan pentingnya kemudahan telekomunikasi diwujudkan walau di kawasan terpencil sekalipun.

Katanya, ekonomi luar bandar bukan hanya berkaitan pertanian, sebaliknya perlu ada industri, ekonomi digital, dan industri perkhidmatan.

Tambahnya, kerajaan negeri mungkin perlu menstrategikan semula pendekatan sedia ada, memandangkan peluang baharu yang bakal wujud susulan langkah memperkenalkan ekonomi digital.

Kerajaan setakat ini, antara lain, telah memperkenalkan Rimbunan Kasih, agropolitan, dan program pembanterasan kemiskinan. — Sarawakvoice