Friday, August 12, 2022

Peniaga Malaysia optimis catat untung lebih banyak tahun ini

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Peneraju-peneraju perniagaan di Malaysia optimis akan merekodkan keuntungan lebih tinggi tahun ini dan berminat untuk membuat pelaburan pada jangka masa panjang.

Menurut kajian perniagaan yang dilakukan oleh Grant Thornton, secara keseluruhannya optimisme pemimpin perniagaan di Malaysia meningkat sebanyak enam peratus pada suku keempat 2017 melonjak berbanding menguncup sebanyak 36 peratus setahun lalu.

Rakan kongsi pengurus negara di Grant Thornton Malaysia, Datuk NK Jasani berkata, kajian mendapati 62 peratus pemilik perniagaan menjangkakan pendapatan meningkat sehingga 22 mata peratusan daripada suku ketiga 2017.

“Tahap keyakinan terhadap perniagaan berkembang di Malaysia. Optimisme berada di tahap tertinggi sejak tahun 2014,” katanya.

Tambah NK Jasani, sebanyak 44 peratus lagi pemilik perniagaan mengunjurkan peningkatan eksport sebanyak 10 mata peratus berbanding suku ketiga 2017, angka tertinggi di Asean.

Kaji selidik Laporan Perniagaan Antarabangsa yang merangkumi 2,500 pernigaan di 36 negara menunjukkkan tahap optimistik di rantau Asean semakin baik dan meningkat ke paras tertinggi sejak tahun 2011 iaitu sebanyak 58 peratus.

Tambah NK Jasani, apabila optimisme meningkat, firma-firma di Malaysia mula memikirkan mengenai masa hadapan dan pelaburan dalam tempoh masa panjang.

Mereka bercadang untuk melabur dalam pembinaan kilang serta pembelian mesin-mesin baharu.

Bagaimanapun, kajian tersebut turut mendapati, 46 peratus pemilik perniagaan di Malaysia bimbang mengenai kekurangan pekerja mahir. Kebimbangan tersebut meningkat sebanyak 12 mata peratusan berbanding suku ketiga 2017.

“Terdapat petanda yang menunjukkan 2018 adalah kemuncak pusingan perniagaan dan ekonomi. Amerika Syarikat dijangka menaikkan kadar faedahnya yang mana kos membuat pinjaman akan meningkat kepada kebanyakan perniagaan.

“Pada masa yang sama, tekanan inflasi dijangka semakin bertambah sejajar dengan peningkatan upah dan harga,” katanya. –theRakyat

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru