Monday, June 27, 2022

Institusi Dun, lambang kedaulatan negeri Sarawak

150 tahun demokrasi dibentuk melalui DUN Sarawak

Secara Rawak

Berikut adalah teks ucapan penuh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sempena Istiadat Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Khas sempena sambutan 150 tahun DUN Sarawak.

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Tuan Speaker

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak Ahli-Ahli Yang Berhormat Tuan-Tuan dan Puan-Puan.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala / kerana dengan izinNya / kita dapat berkumpul bersama-sama di Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri Sarawak / sempena Ulangtahun Yang Ke-150 Dewan Undangan Negeri Sarawak. / Saya percaya, dengan suasana aman dan harmoni yang kita kecapi selama ini / maka kita dapat mengadakan upacara persidangan yang bersejarah ini.

SAMBUTAN ULANGTAHUN YANG KE-150 DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK

Tuan Speaker,

Kita bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana Dewan yang mulia ini / telah mencapai usia, tahun yang ke-150 / sejak persidangan pertamanya pada 8 September 1867 di Bintulu.

Sambutan ulangtahun ini amat penting untuk kita / memperingati sejarah keunggulan Dewan ini / sebagai lambang kedaulatan Negeri Sarawak melalui proses perundangan yang adil. Sambutan ini juga untuk kita mengingati dan menghargai sumbangan personaliti yang terlibat dalam pembentukan sistem perundangan Negeri Sarawak yang unik, tersendiri dan kontemporari ini.

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK

Tuan Speaker,

Dewan yang mulia ini merupakan institusi perundangan yang tertua di Malaysia yang mengamalkan sistem swa-pemerintahan atau self-government / dengan berlandaskan sistem demokrasi berparlimen.

Persidangan yang pada awalnya dikenali sebagai Majlis Umum dipengerusikan oleh Tuan Charles Brooke / selaku Tuan Yang Dipertua Majlis / dianggotai oleh 21 ahli-ahli Majlis iaitu 5 orang pegawai Inggeris dan 16 orang ahli Melayu dan Melanau. Persidangan sulung ini telah menggariskan Aturan Am bagi pengendalian persidangan.

Ketika persidangan pertamanya pada 8 September 1867, Majlis Umum tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan, kehakiman atau eksekutif. Ianya bertindak sebagai satu forum kepada ahli-ahli sidang / untuk saling mengenali di antara satu sama lain, bertukar-tukar pendapat dan mendengar taklimat daripada Rajah dan pegawai-pegawainya / mengenai polisi, tindakan dan kerja-kerja yang dilakukan oleh Kerajaan ketika itu.

Persidangan kedua pula dianjurkan di Sibu pada 15 Jun 1868 yang disertai oleh beberapa ahli tambahan. Seterusnya persidangan yang ketiga telah diadakan di Kuching pada 11 Oktober 1870. Kuching yang terus kekalkan sebagai lokasi persidangan sehingga ke hari ini.

Ahli-ahli yang dipilih untuk menganggotai dan menghadiri sidang Majlis Umum pada ketika itu adalah terdiri daripada pemimpin masyarakat yang membantu mentadbir wilayah-wilayah di bawah bidang kuasa Brooke yang pada masa itu hanya meliputi kawasan persisiran.

KE ARAH PENCAPAIAN PERLEMBAGAAN

Tuan Speaker,

Menjelang tahun 1903, Majlis Umum berubah wajah sebagai asas perundangan pemerintahan Negeri Sarawak dengan memberi penekanan kepada keadilan, undang-undang dan aturan. Bersesuaian dengan perubahan tersebut, Majlis Umum dinamakan Majlis Negeri atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai Council Negeri.

Pembangunan ekonomi mula mendapat perhatian apabila pembangunan pertanian dan bidang kewangan dibincangkan selepas Lawas menjadi sebahagian daripada wilayah Negeri Sarawak pada tahun 1904.

Komposisi keanggotaan Majlis terus dipelbagaikan daripada segi etnik, agama dan strata. Orang Ulu mula menganggotai Majlis pada tahun 1867. Kemudian 7 ketua masyarakat Cina dan 2 ketua masyarakat dari kawasan pedalaman Baram telah menganggotai Majlis pada tahun 1897. Keanggotaan Majlis seterusnya meningkat dengan tambahan dua orang mubaligh dan empat lagi wakil masyarakat Cina pada 17 November 1941.

Sempena ulangtahun ke-100 pemerintahan keluarga Brooke, satu Perlembagaan dikenali sebagai The 1941 Constitutional Order telah dirangka. Perlembagaan bertulis yang disampaikan oleh Rajah, Sir Charles Vyner Brooke turut membawa perubahan kepada peranan Majlis Negeri. Ianya menamatkan kuasa mutlak Rajah untuk membuat sebarang undang-undang atau perbelanjaan tanpa persetujuan Majlis Negeri.

Majlis Negeri kemudiannya dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha dan diadakan di luar Astana Brooke iaitu di Bangunan Mahkamah lama, Kuching.

Pada 16 Disember 1941 pelaksanaan perlembagaan tersebut dan persidangan Majlis tergendala sementara kerana pendudukan tentera Jepun di Sarawak.

KE ARAH PEWAKILAN PENUH SECARA LANGSUNG

Tuan Speaker,

Sebaik sahaja tamat tempoh pendudukan tentera Jepun, persidangan diadakan semula dengan Rajah Charles Vyner Brooke mengisytiharkan penyerahan tampuk pemerintahan Sarawak kepada Kerajaan Inggeris pada Februari 1946. Sebanyak 18 ahli yang kebanyakannya pegawai-pegawai Inggeris menyokong usul tersebut berbanding 16 ahli yang menentang.

Setelah penyerahan Sarawak kepada Kerajaan British, satu Perlembagaan baru telah dirangka pada tahun 1956. Keanggotaan ahli Majlis Negeri telah bertambah kepada 24 ahli terpilih yang tidak rasmi, 14 anggota berdasarkan jawatan, 4 anggota yang dicalonkan dan 3 orang anggota tetap.

Pada tahun 1959 Pilihanraya Umum Sarawak yang pertama diadakan melalui sistem trideret (voting), melalui struktur pihak berkuasa tempatan. Sebanyak 24 orang ahli tidak rasmi tersebut dipilih untuk menyertai Majlis Negeri. Peristiwa ini telah menimbulkan kesedaran politik di kalangan penduduk tempatan yang dibuktikan dengan wujudnya beberapa buah parti politik.

PENUBUHAN MALAYSIA

Tuan Speaker,

Perlembagaan Sarawak mengalami perubahan penting pada Mac 1963 berikutan pengumuman konsep penubuhan Malaysia Raya pada tahun 1961.

Perubahan ini dibuat oleh Majlis Negeri bagi memastikan Sarawak mempunyai perundangan demokrasi sepenuhnya dan kerajaan bersistem Menteri ditubuh sebelum pembentukan Malaysia pada 16 Setpember 1963. Keanggotaan wakil rakyat ditambah kepada 36 dan keanggotaan berdasarkan jawatan dan pencalonan dikurangkan kepada masing-masingnya 3 orang.

Perkembangan ini membolehkan Sarawak mempunyai Kerajaan sendiri yang bersistem Menteri dengan Kabinet atau Majlis Tertinggi dianggotai oleh enam orang dan diketuai oleh Ketua Menteri buat pertama kalinya. Tiga orang anggota berdasarkan jawatan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri dan Setiausaha Kewangan Negeri. Sarawak diterajui oleh Kabinet yang dipilih oleh rakyat pada 31 Ogos 1963. Saya adalah

seorang dari anggota Majlis Kabinet di bawah pimpinan mendiang Datuk Stephen Kalong Ningkan, seorang Dayak yang memimpin Parti.

PERKEMBANGAN KE ARAH MASA DEPAN

Tuan Speaker,

Keanggotaan Dewan ini bertambah mengikut peredaran masa. Pada 25 Mei 1965, enakmen Ordinan Pemisahan Tugas Setiausaha Dewan 1965 menetapkan prinsip berparlimen yang memisahkan tugas perundangan dan tugas eksekutif.

Jumlah Menteri Kabinet telah bertambah, dianggotai oleh Ketua Menteri dan lapan Menteri Kabinet. Pada tahun 1968 anggota Dewan telah bertambah kepada 48 susulan daripada perubahan perlembagaan Dewan. 3 anggota Dewan berdasarkan jawatan dan anggota yang dicalonkan telah dihapuskan.

Selepas Pilihanraya Umum pada tahun 1969, kesemua anggota Dewan yang dipilih sebagai wakil rakyat adalah berdasarkan prinsip seorang-wakil-satu-kawasan, sejajar dengan amalan universal.

Anggota Dewan bertambah kepada 56 orang pada April 1987. Bilangan anggota Dewan terus meningkat pada tahun 1996 kepada 62 wakil rakyat dan 71 wakil rakyat pada tahun 2006. Selaras dengan persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2014, kini kita memiliki 82 wakil rakyat sebagai anggota Dewan.

Persempadan semula kawasan pilihanraya Negeri adalah penting bagi memastikan pentadbiran dan pembangunan yang lebih berkesan. Sarawak boleh berbangga kerana mempunyai bilangan perwakilan yang paling besar berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Komposisi anggota juga adalah pelbagai dari aspek fahaman politik, etnik dan strata. Penggunaan bahasa tempatan dalam sesi persidangan adalah sesuatu yang unik yang mencerminkan sikap bertolak ansur dan saling menghormati bahasa dan budaya penduduk Sarawak.

Kematangan Dewan ini dicerminkan melalui topik perbahasan yang menyeluruh dan menyentuh isu-isu tempatan, nasional dan global. Perbahasan ini menjurus kepada kepentingan Negeri daripada segi kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat yang pelbagai kaum di Sarawak.

PERANAN DEWAN UNDANGAN NEGERI

LAMBANG KEDAULATAN NEGERI

Tuan Speaker

Dewan Undangan Negeri adalah lambang kedaulatan negeri Sarawak. Sejarah kedaulatan sesebuah Negara dan bangsa berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah, bangsa, agama dan negara.

Semangat patriotisme ini merujuk kepada perjuangan dan pengorbanan yang berasaskan nilai-nilai cinta, kesetiaan, kebanggaan, keikhlasan, kesanggupan dan komitmen seorang manusia kepada agama, bangsa dan negaranya.

Sejarah telah menunjukkan bahawa semangat patriotisme merupakan pra-syarat utama dalam pembentukan suatu Negara bangsa yang berjaya. Sejarah juga telah membuktikan bahawa bangsa yang mengkhianati negaranya sendiri akan terjajah dan akhirnya mengalami kehancuran.

Tuan Speaker

Dalam memastikan kedaulatan negeri ini sentiasa terjamin, marilah kita mengimbas kembali sejarah kita semasa dijajah oleh orang asing. Segala kekayaan hasil bumi kita dikaut dasar penjajah. Sebaliknya, kita hidup serba kekurangan dan hanya menyaksikan sumber kekayaan Negeri disusun mengikut dasar penjajah.

Setelah kita mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri, kita dapat mengurus sumber kekayaan kita

untuk kesejahteraan rakyat. Kita dapat mencorakkan pembangunan Negeri ini mengikut acuan kita sendiri. Kita tidak lagi bergantung harap dengan orang luar untuk menentukan hala tuju pembangunan Negeri ini. Kita juga tidak terikat dengan telunjuk mana-mana kuasa asing kerana kita adalah Negeri yang merdeka dan berdaulat. Kini kita dapat melihat kejayaan kerajaan kita sendiri memakmurkan Negeri kita yang tercinta. Saya menyeru kepada semua rakyat untuk terus bersama-sama mempertahankan kedaulatan negeri ini dan menzahirkan cita-cita rakyat yang memilih mereka. Seperti dilafazkan oleh rakyat yang bergerak di kalangan rakyat biasa dan mengurus apa yang dizahir oleh pemimpin mereka dan memahami kepentingan rakyat dari dasar yang mengekalkan pengaruh mereka.

LAMBANG PERPADUAN RAKYAT

Tuan Speaker

Kita sangat bersyukur kerana penduduk di Negeri Sarawak hidup dalam suasana aman damai dan bersatu padu. Dewan ini juga adalah lambang perpaduan antara kaum di Negeri ini. Keahliannya terdiri daripada wakil rakyat yang dipilih daripada pelbagai bangsa dan latar belakang. Suasana ini mencerminkan amalan demokrasi sentiasa subur di Negeri ini yang memperjuangkan aspirasi rakyat. Walaupun berbeza fahaman dan perjuangan politik, ahli-ahli Dewan masih dapat berbahas dalam suasana tertib dan penuh sopan sesuai dengan semangat hormat menghormati yang menjadi asas perpaduan di Negeri ini yang paling memudahkan untuk mereka memperjuang kepentingan rakyat.

Saya menyeru agar rakyat di Negeri kita terus memupuk semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang, budaya dan kepercayaan. Perpaduan dalam kepelbagaian merupakan asas kekuatan Negeri kita untuk mengharungi cabaran yang lebih besar dan kompleks, khususnya dalam era globalisasi dan perkembangan pesat teknologi.

Saya juga menyeru kepada rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang usaha yang menggugat perpaduan dan keharmonian di Negeri ini. Saya gembira atas usaha Kerajaan dalam memperkukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada di kalangan rakyat di Negeri ini.

LAMBANG KEDAULATAN PERLEMBAGAAN

Tuan Speaker,

Peranan Dewan Undangan Negeri kini semakin kompleks. Selain daripada fungsi perundangan, Dewan ini juga berfungsi menjaga kedaulatan perlembagaan, hak berperlembagaan Negeri Sarawak dan rakyatnya.

Dewan Undangan Negeri adalah forum kepada ahli ahli Dewan memberi khidmat nasihat, menilai dasar-dasar dan memantau pelaksanaan rancangan-rancangan Kerajaan. Dewan Undangan Negeri bertanggungjawab meluluskan perbekalan dan memastikan wang awam dibelanja mengikut kelulusan demi kepentingan Negeri dan kesejahteraan rakyat.

Dewan Undangan Negeri menyediakan forum kepada ahli-ahli Dewan untuk menyuara dan berbincang secara terbuka mengenai keperluan rakyat dan isu-isu berkaitan dengan kepentingan Negeri Sarawak.

Oleh yang demikian, saya menyeru agar Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat terus melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam mempertahankan kedaulatan Negeri kita yang tercinta, memperjuangkan keamanan dan perpaduan rakyat dan membela nasib rakyat yang kita kasihi mengikut cita-cita yang mereka idami menerusi pembangunan parti masing-masing.

PEMBANGUNAN POLITIK DAN SOSIO-EKONOMI

Kestabilan Politik Asas Kemakmuran Negeri

Tuan Speaker,

Sempena dengan persidangan Khas Dewan Undangan Negeri Sarawak yang ke-150 tahun pada hari ini, marilah kita memperingati dan meraikan jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dan pengorbanan mereka yang memelihara politik negeri supaya kekal menjadi wahana suara rakyat di semua lapisan.

Sarawak telah dipimpin oleh mendiang Datuk Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak yang pertama selepas kemerdekaan bermula 22 Julai 1963 sehingga September 1966. Kepimpinan beliau pada masa itu berhadapan dengan konfrantasi Indonesia yang menentang pembentukan Negara Malaysia. Perjuangan beliau diteruskan oleh mendiang Penghulu Tawi Sli, Ketua Menteri Sarawak yang kedua.

Pada tahun 1970 kepimpinan Negeri Sarawak diterajui oleh Allahyarham Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub, Ketua Menteri Sarawak yang ketiga. Semasa kepimpinan beliau, Kerajaan berjaya menghapuskan ancaman komunis melalui Deklarasi Sri Aman yang membawa kepada pertukaran nama Simanggang kepada Sri Aman. / Kejayaan ini membawa keamanan dan kestabilan politik di Negeri Sarawak yang berkekalan sehingga dirasai sekarang.

Saya amat bertuah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keempat pada tahun 1981 kerana mewarisi legasi keamanan dan kestabilan politik. Keadaan ini membolehkan saya memberi tumpuan khusus kepada Falsafah Politik Pembangunan yang telah terlibat dalam menyusun semula bentuk hidup di bandar dan di luar bandar.

Politik pembangunan telah membawa kejayaan dan memberi faedah kepada rakyat dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang telah meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat semakin luas di teluk pisok negeri.

Kepimpinan negeri Sarawak diteruskan oleh Allahyarham Pehin Sri Haji Adenan bin Satem, sebagai Ketua Menteri Sarawak yang kelima. Kepimpinan beliau, walaupun singkat telah meneruskan kesinambungan kepimpinan terdahulu dalam melaksanakan pelbagai inisiatif, program dan projek pembangunan yang bersifat people centric.

Beliau tegas dalam memperjuangkan hak-hak autonomi Negeri serta mengusulkan pengembalian kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

PERPADUAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN

Tuan Speaker,

Kita bersyukur kerana memiliki pemimpin yang dinamik, berwibawa, dan bertanggungjawab serta mementingkan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Kestabilan politik yang dicapai melalui amalan konsep perkongsian kuasa membolehkan rancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kita amat bertuah kerana setiap kaum di negeri ini telah mengamalkan sikap kemesraan, saling hormat menghormati dan bertoleransi. Amalan ini merupakan aset penting yang harus dikekalkan bagi memastikan tumpuan dapat diberikan kepada pembangunan Negeri demi kesejahteraan rakyat. Kita hendaklah mengambil iktibar daripada pergolakan yang berlaku di negara negara lain yang telah merencatkan pembangunan, kemusnahan harta, kehilangan jiwa yang akhirnya membawa penderitaan kepada rakyat.

Kita harus menghargai nikmat keamanan yang kita warisi selama ini. Saya yakin Sarawak berada di landasan yang betul kerana kekuatan kita terletak pada perpaduan pelbagai kaum di Negeri ini. Kita haruslah menolak sebarang anasir luar yang berniat menganggu gugat dan menjejaskan keharmonian kita selama ini.

Ingatlah, bukan senang untuk kita membina perpaduan dan keamanan dalam masyarakat yang berbilang kaum dalam masa selepas merdeka. Ianya perlu dipelihara dengan kepimpinan politik dan diaturkan berpuluh tahun dengan kerjasama di antara kita. Setiap unsur yang merapatkan hubungan kaum seperti sekarang ini haruslah diteruskan.

PEMBANGUNAN SOSIO-EKONOMI STRUKTUR EKONOMI SELEPAS KEMERDEKAAN Tuan Speaker,

Sejak kemerdekaan, kita bergantung kepada ekonomi sara-diri. Usaha yang lebih giat dilaksanakan untuk membangunkan ekonomi kita

selepas kemerdekaan. Cabaran di awal kemerdekaan seperti konfrantasi penubuhan Malaysia dan ancaman komunis tidak sedikitpun melemahkan semangat kita untuk melaksanakan agenda pembangunan Negeri. Malah ancaman besar ini telah berjaya ditangani atas kebijaksanaan dan kewibawaan para pemimpin terdahulu. Ini membolehkan usaha dapat ditumpukan sepenuhnya kepada perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi.

MEMPELBAGAIKAN AKTIVITI EKONOMI

Kita bersyukur kerana Sarawak dikurniakan dengan sumber alam semula jadi yang banyak. Pada peringkat awalnya kita hanya mengeksport sumber ini dalam bentuk komoditi seperti minyak mentah dan kayu balak. Oleh itu, peluang pekerjaan dan perniagaan amat terhad pada ketika itu.

Selepas itu usaha perancangan yang lebih rapi dan tersusun telah dilaksanakan untuk mempelbagai dan menambah nilai aktiviti ekonomi kita, khususnya aktiviti hiliran berasaskan sumber semula jadi. Aktiviti pertanian sara-diri telah berubah wajah dengan pembukaan ladang-ladang komersial yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat meningkatkan taraf hidup mereka.

PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR

Kerajaan telah membangunkan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta telekomunikasi bagi menyokong pembangunan sosio-ekonomi di seluruh Negeri. Pembangunan infrastruktur logistik pelabuhan dan lapangan terbang juga telah merancakkan aktiviti ekonomi di negeri ini.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Kerajaan juga membangunkan modal insan untuk menyokong pembangunan ekonomi. Institusi-institusi pendidikan dan pusat latihan telah ditubuhkan untuk melatih modal insan kita bagi memenuhi keperluan industri khususnya tenaga kerja mahir dan separa mahir. Ini telah memberi peluang kepada penduduk tempatan yang sebahagian besarnya masih muda dan mudah dilatih menjadi tenaga kerja mahir.

TRANSFORMASI LUAR BANDAR

Tuan Speaker,

Saya gembira Kerajaan mengambil berat mengenai kebajikan penduduk di kawasan luar bandar. Saya memuji usaha Kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar. Melalui pembangunan sektor luar bandar banyak potensi ekonomi telah diusahakan. Tanah-tanah terbiar juga telah dimajukan dengan pembangunan perladangan komersial yang telah meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar. Usaha untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di luar bandar juga telah memberi manfaat dan dinikmati oleh penduduk.

TRANSFORMASI EKONOMI MELALUI SCORE

Kerajaan terus berusaha mentransformasikan ekonomi Negeri dengan meneroka sumber kekayaan baru. Saya gembira kerana usaha ini telah membuahkan hasil dengan pelaksanaan pembangunan SCORE. Melalui SCORE kita berjaya membangunkan sumber potensi tenaga hidro-elektrik untuk mempercepatkan proses perindustrian Sarawak. SCORE kini telah menarik banyak pelaburan khususnya dalam industri berat berintensifkan tenaga. Saya gembira kerana industri-industri yang beroperasi di kawasan SCORE telah membuka banyak peluang perkerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan.

PENCAPAIAN SOSIO-EKONOMI

Usaha-usaha ini telah meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM124 bilion pada tahun 2016 berbanding hanya RM550 juta pada tahun 1963. Dalam tempoh yang sama, nilai eksport telah mencecah RM77 bilion pada tahun 2016 berbanding hanya RM373 juta pada tahun 1963.

Manakala jumlah pekerjaan kini adalah sebanyak 1.2 juta pada tahun 2016 berbanding hanya 294 ribu pada tahun 1963. Sarawak kini telah mencapai taraf guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran kurang daripada 4 peratus.

Saya bersyukur dengan dengan adanya peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan di Negeri ini, kadar kemiskinan berjaya dikurangkan daripada lebih 56 peratus pada tahun 1976 kepada hanya 0.6 peratus pada tahun 2016.

Pencapaian ini jelas membuktikan kewibawaan kepimpinan Kerajaan kita yang sentiasa berusaha untuk memperjuang dan membela nasib rakyat.

Saya yakin kejayaan ini telah memberi semangat yang tinggi kepada para pemimpin dan rakyat untuk terus berusaha memperkasakan Negeri Sarawak ke tahap pembangunan yang lebih gemilang dan menempa nama di persada dunia.

MASA DEPAN SARAWAK YANG GEMILANG

Tuan Speaker,

Saya yakin dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak serta barisan Kabinet beliau, Sarawak akan terus mencapai kejayaan yang lebih besar.

Saya percaya kebijaksanaan kepimpinan Negeri dan inisiatif-inisiatif pembangunan yang dilaksanakan, Sarawak mampu mencapai status Negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. Sarawak kini berada di landasan yang tepat untuk membina masa depan yang gemilang.

Komitmen Kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat dalam rancangan pembangunannya adalah langkah penting untuk melakar landskap ekonomi yang progresif dan mampan. Saya percaya ekonomi kini akan mengalami lebih tinggi lonjakan mega melalui inisiatif Ekonomi Digital yang memberi dimensi baru kepada aktiviti ekonomi Negeri Sarawak. Inisiatif ini jelas menunjukkan kepemimpinan YAB Ketua Menteri yang berwawasan jauh dan peka dengan perubahan semasa ekonomi dunia.

Ekonomi Digital membuka banyak peluang untuk generasi muda kita terlibat dalam bidang keusahawanan. Saya yakin anak-anak muda kita merupakan golongan yang kreatif dan inovatif sesuai dengan kehendak era digital dan mampu mencipta nama dalam bidang masing-masing di peringkat antarabangsa. Saya menasihatkan agar anak-anak muda kita merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi digital.

Saya juga ingin menyeru agar semua pihak menghargai dan menyokong usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan agar ianya memberi manfaat kepada kita semua. Era digital pastinya akan mengubah cara kita hidup dan bekerja. Oleh itu, marilah kita terus membina kekuatan dan jati diri, dalam usaha mengejar pembangunan dan cabaran di era digital ini.

Tuan Speaker,

Saya yakin pendekatan baru pembangunan Negeri yang diperkenalkan oleh kepimpinan YAB Ketua Menteri seperti penubuhan Development Bank of Sarawak (DBOS), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Multimedia Authority (SMA) akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Negeri.

Saya juga gembira kerana kepimpinan YAB Ketua Menteri terus memperjuangkan hak dan kepentingan

Negeri Sarawak khususnya dalam konteks Malaysian Agreement 1963 (MA63) dan hak-hak eksklusif ke atas persempadanan perairan laut dan sumber galian kita.

PENUTUP

Tuan Speaker,

Sebelum saya mengakhiri ucapan pembukaan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri Sarawak sempena Ulangtahun Yang Ke-150 Dewan Undangan Negeri Sarawak ini, Saya juga ingin berpesan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sentiasalah bermuhasabah diri dan menilai khidmat dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Pembangunan dan kemajuan yang di rancang hendaklah sentiasa berpaksikan keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang. Saya menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, sentiasa terus turun padang dan mendekati dan mendengar “denyut nadi” rakyat.

Tuan Speaker,

Sempena persidangan ini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua yang meraikannya. Sambutlah perayaan ini bersama keluarga dan sahabat handai dengan penuh meriah dan keriangan. Saya percaya, sambutan perayaan ini pastinya lebih meriah dengan kehadiran rakan taulan dari kalangan bangsa-bangsa lain yang turut serta menyambutnya.

Dengan ini, saya sudahi ucapan ini dengan lafaz yang mulia Bismillahirahmanirahim WabillahiTaufik WalHidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru