KUCHING: Selama sehari, Sarawak mengadakan Persidangan Khas Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-18 sempena dengan Ulang Tahun ke-150 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Majlis dimulakan dengan istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Seramai 150 anggota daripada Pasukan Gerakan Am dengan tiga pegawai kanan terlibat dalam istiadat ini sebentar tadi, biarpun bandar raya Kuching dibasahi hujan lebat.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, dipercayai antara pengamal sistem demokrasi tertua di rantau ini bermula pada 8 September 1867 di Bintulu.

Ia berlandaskan sistem swapemerintahan iaitu sistem demokrasi berparlimen.

Ketua Menteri Sarawak yang pertama selepas merdeka ialah Datuk Stephen Kalong Ningkan yang memerintah pada 22 Julai 1963 hingga September 1966.

Berikutan krisis kepimpinan yang berlaku, tampuk pemerintahan diambil alih Penghulu Tawi Sli, yang merupakan Ketua Menteri Sarawak yang kedua.

Pada tahun 1970, Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub dilantik Ketua Menteri Sarawak ketiga sebelum diambil alih oleh Pehin Abdul Taib Mahmud pada 1981.

Beliau yang kini merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak meneruskan legasi keamanan dan kestabilan politik dengan memperkenalkan falsafah Politik Pembangunan dan menyusun semula pembangunan di bandar dan luar bandar.

Kepimpinan negeri Sarawak kemudian diambil alih oleh  Pehin Sri Adenan Satem pada 1 Mac 2014 hingga kematiannya pada 11 Januari 2017.

Beliau terkenal kerana tegas dalam memperjuang hak-hak autonomi negeri Sarawak serta mengusulkan pengembalian kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Pentadbiran Sarawak diteruskan dengan pelantikan Ketua Menteri Sarawak keenam, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 13 Januari 2017.

Beliau kini dikenali kerana dasar-dasarnya yang membawa Sarawak ke era digital dan ekonomi digital.

Malam ini sambutan diteruskan dengan jamuan negeri. — Sarawakvoice