“Dr Mahathir panggil saya dan meminta saya menyokong beliau sebagai calon PM bagi PH. Saya terus ketawa sebaik sahaja mendegar cadangan tersebut”.

“Saya ketawa sebab jika saya yang diangkat sebagai calon PM, rakyat akan ketawakan PH. Jika Dr Wan Azizah menjadi calon PM, orang-orang UMNO tidak akan beri undi mereka dan PH hanya akan mendapat undi daripada penyokong pembangkang sahaja”.

“Tetapi jika Dr Mahathir yang dicalonkan, saya fikir peluang PH menang di PRU14 amat tinggi kerana selain undi pembangkang,  orang-orang UMNO sendiri akan beri undi kepada PH. Tun M tidak menyerang pengikut UMNO, dia hanya serang Datuk Seri Najib seorang sahaja”.

Dialog di atas diberikan oleh satu sumber yang boleh dipercayai kepada saya mengenai jawapan yang Mat Sabu berikan apabila ditanya bagaimana asalnya Dr Mahathir terpilih sebagai calon PM bagi PH.

Mat Sabu yang juga Presiden parti Amanah merupakan orang ketiga yang dipanggil selepas Lim Kit Siang dan Dr Wan Azizah.

Kepada pemimpin atasan PH, alasan dan logik mereka  memilih Dr Mahathir sebagai calon PM sememangnya amat jelas, tsunami politik di Malaysia tidak mungkin berlaku sekiranya pengundi bandar sahaja yang memilih pembangkang, sama seperti keputusan PRU13.

Peranan dan kekuatan yang masih ada kepada Dr Mahathir diperlukan oleh PH untuk membolehkan tsunami politik menerobos ke kawasan luar bandar yang selama ini menjadi kubu kuat BN.

Walaupun telah sebulan berlalu, isu pemilihan Dr Mahathir sebagai calon PM bagi PH nampaknya masih lagi menjadi kontroversi hangat.

Golongan pengundi muda yang bersimpati dengan PH selama ini menzahirkan rasa tidak senang mereka dengan pilihan tersebut dan melancarkan kempen #UndiRosak di laman twitter.

Kempen ini menggesa mereka yang tidak bersetuju dengan BN atau PH supaya merosakkan undi mereka.

Menyedari kesan buruk daripada kempen tersebut, Lim Kit Siang yang baru pulih daripada pembedahan rawatan kanser dilaporkan berucap di Batu Pahat malam tadi (28 Januari 2018) dan menyatakan, “hanya Dr Mahathir yang layak melakukan ‘mission impossible’ dalam membantu pembangkang mendapatkan sokongan pengundi Melayu di luar bandar pada PRU akan datang”.

Foto Facebook/Dr.Mahathir Mohamad

Mengikut Lim lagi, “sokongan kepada pembangkang di kalangan pengundi bandar tidak memadai dalam menukar kerajaan”.

Sejauhmana komen Lim Kit Siang dapat meredakan penentangan golongan muda terhadap keputusan PH agak sukar dipastikan.

Jika situasi penolakkan ini berterusan, tidak mustahil Anwar Ibrahim juga akan mengeluarkan kenyataan beliau berhubung dengan perkara sedikit masa lagi.

Lagipun semua game plan ini ditentukan sendiri oleh Anwar Ibrahim yang secara strategik telah membina satu blok politik yang boleh menandingi blok yang didominasikan oleh BN semenjak tahun 1950an lagi.

Blok yang beliau bina kini tidak mempunyai raksasa yang dapat merobek dan memusnahkan kubu-kubu BN di kawasan luar bandar setelah beliau sendiri direhatkan di penjara Sungai Buloh.

Dr Mahathir adalah raksasa yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut dan seterusnya menjadi penyerang utama di barisan hadapan bala tentera PH.

Raksasa ini mempunyai satu sahaja kelemahan, iaitulah faktor usia. Kata Mat Sabu, “sama-samalah kita doakan Dr Mahathir panjang umur”. — Sarawakvoice