KUCHING: Susulan jangkitan Rabies pada manusia ketujuh yang disahkan semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini menegaskan pengamal perubatan di klinik dan hospital swasta di Sarawak diminta untuk mematuhi ‘Garis Panduan Pengendalian Kes Gigitan Anjing dan Haiwan Lain’ termasuk merujuk kes ke fasiliti kesihatan Kerajaan.

Menurut jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin, pada hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri akan mengeluarkan ‘surat peringatan’ kepada semua klinik dan hospital swasta untuk melaporkan sebarang kes yang berkaitan gigitan anjing dan haiwan dengan kadar segera ke Pejabat Kesihatan terdekat.

“Ini untuk menyelamatkan nyawa manusia.

“JKNS juga akan mengeluarkan ‘surat amaran’ kepada sebuah klinik kesihatan yang telah gagal melaporkan satu kes gigitan anjing serta gagal merujuk kes tersebut ke klinik/hospital kerajaan untuk pengurusan lanjut ke atas kes gigitan anjing.

JKNS juga akan terus meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain yang berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus Rabies di Sarawak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Orang ramai katanya, diingatkan untuk terus ‘berwaspada’ dan mengelakkan diri daripada digigit oleh anjing dan kucing.

Sekiranya digigit perlulah mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian yang terkena gigitan dengan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit dan segera mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan. — Sarawakvoice