KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebentar tadi mengesahkan satu kes baharu jangkitan Rabies terhadap manusia pada semalam (26 Januari) melalui ujian makmal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hidham Abdullah berkata, kes ini melibatkan seorang lelaki berumur  59 tahun dari Jalan Batu Kawa-Matang, Kuching yang mempunyai sejarah digigit anjing pada 27 November tahun lalu.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di klinik swasta di bandar raya ini pada hari yang sama tetapi tidak dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan untuk vaksinasi.

“Pada 20 Januari lalu, mangsa mengalami sakit serta lemah anggota kaki dan dimasukkan ke hospital swasta pada 24 Januari.

Keesokannya, katanya, kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Kes menunjukkan gejala hydrophobia, hallusinasi dan agresif.

Sejak 30 Jun 2017 hingga 26 Januari 2018, terdapat tujuh kes jangkitan Rabies di Sarawak dengan lima kes telah meninggal dunia dan dua lagi kes sedang dirawat di HUS.

Pada 26 Januari, terdapat 28 lokaliti positif Rabies di lima Bahagian di Sarawak iaitu Serian, Samarahan, Sri Aman, Kuching dan Sarikei.

“Active Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan wabak Rabies di Sarawak.

“Aktiviti ini melibatkan siasatan di 20,301 rumah dengan 78,465 orang telah ditemu duga bagi sejarah gigitan anjing.

Sebanyak 6,158 kes gigitan haiwan ini katanya, telah dikesan di kawasan wabak di Sarawak dan telah diberikan rawatan.

“Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan Rabies juga telah diberi kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Pengamal perubatan di klinik dan hospital swasta di Sarawak tegas Noor Hisham, diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pengendalian Kes Gigitan Anjing dan Haiwan Lain termasuk merujuk kes ke fasiliti kesihatan kerajaan.

KKM akan terus mempertingkat kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain yang berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies di Malaysia dapat dilaksanakan secara menyeluruh. — Sarawakvoice