Cuepacs: Wujudkan perlindungan keselamatan untuk anggota penguat kuasa

0
6

KUALA LUMPUR: Pelan perlindungan keselamatan untuk anggota penguat kuasa yang terdedah kepada ancaman dan ugutan perlu dirangka, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Menurut Datuk Azih Muda gangguan seumpama itu menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan terhadap kerja yang akan menyebabkan petunjuk prestasi utama (KPI) mereka terjejas.

“Jadi sampai masanya perlu ada satu kaedah atau pelan perlindungan keselamatan anggota-anggota penguat kuasa bagi menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian cek faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Wisma Perkeso di sini, pada Khamis.

Beliau mengulas kejadian kebakaran kereta milik pegawai kastam di Putrajaya,  Selasa.

Kejadian kebakaran membabitkan empat  buah kereta di rumah Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia dipercayai perbuatan dendam sindiket penyeludupan pernah ditumpaskan pegawai itu.

Pegawai terbabit, Nor Azman Mat Jini, 59, sebelum ini berkhidmat di bahagian penguatkuasaan dan berjaya menumpaskan beberapa sindiket yang cuba menyeludup barangan bernilai jutaan ringgit, baru-baru ini.

Dalam kebakaran kira-kira jam 3.30 pagi di pekarangan rumah teres dua tingkat kuarters kerajaan di Presint 11,  empat kereta milik Nor Azman dan ahli keluarganya rosak, termasuk dua musnah. — Sarawakvoice