Tuesday, October 4, 2022

Tolak sentimen negatif, GST tidak akan dinaikkan – PM Najib

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan seperti tohmahan sesetengah pihak yang cuba menyebarkan sentimen negatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kutipan GST pada kadar enam peratus adalah antara terendah di dunia dan bukan untuk membebankan rakyat.

Malah sebaliknya ia menjadi penyelamat ekonomi negara.

“Kerajaan mengambil berat terhadap kumpulan berpendapatan rendah, dengan mengehadkan kadar GST kepada enam peratus sahaja berbanding negara lain yakni antara tujuh hingga lebih 20 peratus.

“GST membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada rakyat termasuk pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalanraya, hospital, sekolah, perbelanjaan perkhdimatan kesihatan, keselamatan, pendidikan dan banyak lagi,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Subromaniam Tholasy; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Menurut Najib, jumlah GST yang dikutip pada tahun lalu adalah sebanyak RM44 bilion berbanding RM41 bilion pada tahun 2016.

Beliau juga melihat penyampaian perkhidmatan Kastam DiRaja Malaysia bertambah cekap melalui penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan.

Sementara itu, Najib mahu warga KDRM kuat semangat menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

“Saya yakin dan percaya dalam apa jua keadaan sekali pun walau ditekan dan diugut, walau kereta dibakar anggota kastam tidak akan mengundur diri, sebaliknya bertambah kuat semangat bertugas masing-masing,” ujar beliau.

Menurutnya, kerajaan akan terus memperkenalkan inisiatif baharu supaya ekonomi negara lebih kompetitif dan rakyat dapat menikmati manfaat. – theRakyat

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru