Kewujudan pengundi tegar, iaitu kumpulan pengundi yang mengundi berdasarkan label parti dan tidak mempedulikan kriteria lain seperti calon dan polisi, boleh memberi kelebihan kepada sesebuah parti politik.

Lazimnya pengundi tegar dikaitkan dengan kawasan luar bandar, di mana parti yang lama berkuasa seperti BN sukar digugat oleh lawan mereka. Situasi di Malaysia menunjukkan pengundi tegar juga wujud di kawasan bandar dan semakin kuat. Sementara di kawasan luar bandar pula, bilangan dan peratusan pengundi tegar semakin mengecil.

Bagi kawasan bandar, lihat sahaja keputusan PRU untuk kawasan Parlimen Seputeh, Bukit Bintang, Cheras, Segambut, Kepong, Batu, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Kepong, Ipoh Timur, Bukit Mertajam, Bangan, Batu Kawan, Bandar Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu dan lain-lain.

Di kawasan-kawasan Parlimen di atas, BN bukan lagi platform yang boleh diterima. Ada pendapat menyatakan jika DAP letak selipar sebagai calon  di kawasan parlimen-parlimen tersebut pun mereka boleh menang juga!

Bagi kawasan luar bandar pula, tidak semua kawasan Parlimen dimonopoli oleh BN. Kawasan seperti Sungai Petani, Padang Serai, Tumpat, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Pasir Mas, Rantau Panjang, Pasir Puteh, Marang, Sungai Siput dan banyak lagi, secara konsisten mengundi pembangkang semenjak dua kali PRU yang lalu atau lebih.

Untuk mengetahui kedudukan pengundi tegar atau dalam bahasa sains politik disebut sebagai lecixographic voters, ada beberapa kondisi perlu wujud. Pertama, mesti ada unsur persaingan dua parti atau lebih. Kedua, parti perlu dilihat menawarkan polisi yang sama, cuma tahap yang berbeza.

Dalam hal ini, Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan bandar lain tidak lagi sesuai untuk diukur golongan pengundi tegar kerana BN sudah menjadi seperti barang yang tidak lagi laku dan diminati oleh pengundi di sana.

Kawasan yang ada persaingan seperti Pahang, Kedah, Terengganu, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka amat menarik untuk dikaji bilangan dan peratus pengundi tegar ini.

Pahang misalnya, tidak lagi boleh dianggap sebagai kubu selamat untuk BN. Semasa PRU-13, BN berjaya menang 10 kerusi sahaja daripada 14 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Dan untuk kerusi DUN, BN menang sebanyak 30 daripada 42 kerusi.

Peratusan undi majoriti bagi semua kawasan parlimen di Pahang untuk PRU13 ialah sekitar 11 peratus sahaja. Jika pembangkang berjaya melakukan ayunan undi  atau swing sebanyak 6 peratus, sebahagian besar kerusi parlimen dan dewan undangan negeri akan jatuh ke tangan mereka.

Bagi negeri yang bakal menyaksikan persaingan sengit dalam PRU-14 kelak, bilangan dan peratusan pengundi tegar cukup penting untuk menggarapkan strategi bagi membolehkan sesebuah parti memperoleh kemenangan.

Sebagai contoh, kajian di Parlimen Kuantan menunjukkan pengundi tegar bagi PKR adalah sebanyak 46 peratus dan BN hanya 4 peratus. Untuk kekal menang selepas PRU-14, PKR hanya perlu bekerja untuk mendapatkan simpati golongan atas pagar sebanyak 5 peratus sahaja lagi.

Sebaliknya, untuk BN merampas kembali Parlimen Kuantan, mereka perlu memobilisasi sokongan sebanyak 47 peratus. Berbekalkan tempoh masa hanya sebulan dua sahaja lagi sebelum PRU, perkara ini amat mustahil untuk dilakukan.

Penyandang kerusi parlimen Kuantan, iaitu Fuziah Salleh yang telah mewakili Kuantan selama dua penggal sebelum ini pasti tidak perlu bersusah payah berkempen seperti sebelumnya.

Bagi kawasan Parlimen yang sentiasa dimenangi oleh BN seperti Pekan, Bentong, Lipis, Cameron, Maran, Jerantut, Bera, Rompin dan Paya Besar pula, pengundi tegar mereka berada di bawah aras 20 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi.

Mereka pastinya perlu bekerja lebih keras berbanding dengan sebelum ini untuk memenangi hati dan minda pengundi.

Pembangunan pesat dan krisis politik yang dialami oleh negara semenjak 20 tahun ke belakang telah mengubah sikap dan kefahaman masyarakat luar bandar, khasnya di semenanjung terhadap politik kepartian.

Teknologi maklumat mengubah cara berfikir  dan turut memberi kesan kepada pengundi yang berada  jauh di pedalaman seperti dapat dilihat dalam kes di negeri Pahang.

Sebab itulah kawasan Parlimen Raub dan Temerloh yang selama ini semacam kebal di bawah BN tiba-tiba beralih kepada pembangkang semasa PRU-13 yang lalu.  Sementara di Bentong dan Cameron pula BN mendapat undi majoriti di bawah aras 500 undi.

Adakah pembangkang akan menggandakan kemaraan mereka di negeri Pahang selepas PRU14 nanti? Melihat kepada pengundi tegar BN yang tidak begitu besar, pendekatan BN yang tidak berubah dan isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa khususnya yang melibatkan Felda semakin banyak, semuanya tidak mustahil akan berlaku.

Apa pun, persaingan untuk menjadi raja bagi mewakili pengundi kawasan luar bandar menjelang PRU-14 tidak lagi sedingin bayu di kaki Gunung Kinabalu. — Sarawakvoice