KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihak kerajaan perlu berusaha mewujudkan peluang pekerjaan, dan perniagaan supaya mereka yang terlatih dan berpengetahuan berpeluang memperbaiki taraf hidup mereka.

Bekas perdana menteri berkata, adalah satu pembaziran sekiranya siswazah yang terlatih terutama dalam bidang profesional terpaksa menjual nasi lemak sebagai pekerjaan.

“Kalau kita belanjakan ratusan ribu ringgit untuk melatih seseorang yang akhirnya akan menjual nasi lemak, itu adalah membazir, kalau kita betul-betul berminat jual nasi lemak, tak payahlah kita jadikan dia seorang jurutera,” katanya dalam siaran langsung “Policy Talk” di Facebook, semalam.

Menurut Tun Mahathir, tindakan itu dibuat susulan peluang pekerjaan yang semakin merosot dalam kalangan ssiwazah terlatih.

“Peluang pekerjaan makin merosot sehingga ada kalangan mereka yang terlatih dalam bidang jurutera tiada kerja dan terpaksa jual nasi lemak,” katanya.

Mahathir turut membidas kenyataan yang mengaitkan siswazah  yang menjual nasi lemak sebagai inisiatif baik kepada seorang jurutera yang kembali ke tanah air.

“Saya fikir pandangan yang sebegitu tidak menunjukkan kefahaman tentang masalah kehidupan sosial dalam negara,” katanya lagi.

Tun Mahathir sebelum ini berkata lepasan universiti yang terpaksa menjual nasi lemak, menjadi pemandu Uber dan seumpamanya merupakan petanda kegagalan kerajaan di negara ini.

Kenyataan beliau menerima kritikan banyak pihak. — Sarawakvoice