Saturday, May 21, 2022

Abang Jo ikhlas dengar isu Pemakai Menoa dan Pulau Galau, sanggup pinda Kanun Tanah Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: “Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia mendengar isu berkaitan ‘Pemakai Menoa’ dan ‘Pulau Galau’ dan jika perlu, meminda Kanun Tanah Sarawak.

“Kita serius dan ikhlas berhubung perkara ini, tetapi ia perlu dengan undang-undang yang teratur dan jelas” tegas Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam ketika merasmikan Seminar Pemakai Menoa Pulau Galau di Hotel Imperial di sini.

Ia persidangan pertama mengenai “isu panas” ini, yang meledak susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Disember 2016 untuk tidak mengiktiraf pelaksanaan Pemakai Menoa Pulau Galau dalam undang-undang tanah negeri.

Jelas Abang Johari, pentadbirannya kini sedang mencari “penyelesaian terbaik” yang boleh menamatkan isu ini secara berhemah.

“Perlu ada definisi yang ‘jelas’ dan ‘tepat’ berhubung status dua kategori tanah ini, yang perlu disepakati oleh semua golongan Bumiputera.

Kata Abang Johari,  Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sebelum kematiannya, telah mengarahkan beliau dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk menangani isu ini.

“Kita amat sedar bahawa isu ini dekat di hati rakyat Bumiputera negeri ini dan kerana itu kita mahu menyelesaikannya secepat mungkin,” jelasnya lagi.

Hadir sama Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Douglas Uggah, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani.

Katanya lagi, beliau berharap, persidangan yang dihadiri 368 peserta daripada pelbagai etnik Bumiputera di Sarawak, termasuk Melayu berjaya menghasilkan resolusi dan cadangan berkaitan isu ini untuk pertimbangan kerajaan.

Sebagai menteri yang dipertanggungjawab untuk isu ini, Uggah mengakui kerajaan terpaksa menangani isu ini menggunakan saluran politik setelah ia mencetuskan kesan kepada masyarakat Bumiputera di negeri ini.

Pindaan mengenai Kanun Tanah Sarawak bagi memberi ruang kepada Pemakai Menoa dan Pulau Galau dijangka dibentang dan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada persidangan Mei depan. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru