Friday, September 30, 2022

70 syarikat terlibat bantu buka peluang pekerjaan untuk belia luar bandar

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Sebanyak 70 syarikat terlibat dalam Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) bagi membuka peluang pekerjaan kepada belia di kawasan luar bandar, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata 1MPAK, yang diterajui Majlis Amanah Rakyat (MARA), telah menarik minat syarikat-syarikat daripada industri bernilai tinggi seperti perkhidmatan perniagaan, elektrikal dan elektronik, automotif dan aeroangkasa untuk bersama menjayakan program tersebut.

“Kita menetapkan setiap peluang pekerjaan yang ditawarkan haruslah minimum RM1,500 sebulan,” katanya pada sidang media untuk mengumumkan pelancaran 1MPAK di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata ia merupakan sebahagian program jangka panjang MARA yang menyasarkan kira-kira 250,000 peluang pekerjaan dicipta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, untuk peringkat pertama, program tersebut akan menjelajah di 26 daerah terpilih.

Beliau berkata jelajah pertama 1MPAK bermula Sabtu ini di Bera, Pahang yang menawarkan pelbagai aktiviti termasuk padanan kerja dan temuduga, program keusahawanan serta pendidikan.

Ismail Sabri berkata, program itu bukan sahaja membuka peluang kepada graduan diploma atau ijazah tetapi juga memberi peluang kepada penuntut yang mempunyai sijil kemahiran.  — BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru