Beberapa hari “shutdown” AS “buka” semula pemerintahannya

0
2

WASHINGTON: Persefahaman baharu antara  Republikan pimpinan Presiden Donald Trump dengan parti pembangkang Demokrat berjaya membawa kepada “pembukaan” semula pemerintahan Amerika Syarikat (AS).

Demokrat akhirnya bersetuju menyokong rang undang-undang jika Republikan menyetujui program melindungi 700,000 para imigren muda dikenali sebagai kumpulan “Dreamers” yang diperkenalkan pada era pemerintahan Barrack Obama.

Persetujuan kem Demokrat sekurang-kurangnya membuka semula pemerintahan AS khususnya melibatkan perkhidmatan awam, walaupun untuk sementara.

Hal ini memberi nafas lega kepada ribuan pegawai pusat yang diberi cuti atau tidak dibayar gaji kerana Senat tidak mempunyai suara majoriti semasa pengundian belanjawan minggu lepas.

Meskipun “shutdown” berakhir,  pertempuran isu imigrasi dan belanjawan masih berlanjutan.

Schumer, pemimpin Demokrat di Senat menuduh Trump tidak membantu mencapai kesepakatan bipartisan.

Senator New York itu mengatakan beliau menaruh harapan besar pada perbicaraan program Dreamers, program imigran muda yang dilindungi di bawah Deferred Action for Childhood Arrivals (Daca) era Obama.

Sebelum ini,  Trump mengancam menggunakan “opsyen nuklear” mengakhiri kebuntuan “shutdown” pemerintahan AS.

Trump masih menyalahkan pembangkang dari kem Demokrat yang mengundi di Senat sehingga menyebabkan kerajaan AS ditutup dan lumpuh.

Beliau mengungkit, Parti Republik berjuang untuk tentera dan keselamatan, tetapi Parti Demokrat hanya mahu memperjuangkan pendatang tanpa izin yang memasuki AS.

Trump melalui Twitter mengatakan Republik kini hanya mempunyai 51 peratus suara di Senat sedangkan peraturan memerlukan persetujuan 60 peratus pungutan suara bagi membuat sebarang resolusi.

Justeru “opsyen nuklear” yang bermaksud dasar baru diperlukan oleh Trump bagi mengubah peraturan pungutan suara di Senat untuk memintas suara bangkangan dari parti minoriti. — Sarawakvoice