KUCHING: Penjawat awam muda khususnya yang berumur 40 tahun ke bawah  perlu mengambil peluang daripada siri Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menyatakan idea-idea baharu sebagai wadah dalam mencorak masa depan negara pasca-2020.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata aspirasi kerajaan yang ingin direalisasikan menerusi wacana TN50 ini juga perlu difahami, dikongsi dan dihayati bersama oleh penjawat awam muda yang mewarisi pentadbiran negara.

Beliau berkata, pemahaman mendalam mengenai aspirasi kerajaan adalah penting agar hala tuju negara dapat direncanakan sebaiknya, kerana ”kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada institusi awam pada masa akan datang jika penjawat awam sendiri tidak boleh memahami kehendak kerajaan serta rakyat”.

“Produktiviti negara bergantung kepada penjawat awam, justeru kerajaan perlu mengambil kira keperluan orang muda zaman ini kerana keperluan orang muda zaman dulu dan pada masa akan datang adalah berbeza,” katanya dalam satu sidang media di penghujung Majlis Wacana Jelajah TN50 anjuran Cuepacs di Bangunan Dun Lama Petra Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir dalam majlis hari ini ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.