Desak Abg Johari dedah lanjut projek LRT, dapatkah Chong bersabar tunggu saja sidang DUN

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen dari DAP pernah melabelkan “hot air” kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkaitan aspirasi ekonomi digital, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), syarikat Petros dan lain-lain termasuk inisiatif pembinaan Aliran Transit Ringan (LRT).

Chong pernah menyerang inisiatif LRT yang menghubungkan Kuching, Serian, Kota Samarahan dan Santubong oleh Abang Johari itu dan mahu ia dihentikan.

Chong yang juga Ahli Parlimen Parlimen Bandar Kuching mendakwa jika “angan-angan kosong” Abang Johari itu diteruskan ia berpotensi menghakis rizab Kerajaan Negeri berjumlah RM28 bilion.

Hujung April 2017, Chong pernah menyeru Abang Johari agar berpijak di bumi nyata dan berhenti meniup “hot air” berkaitan cadangan pembinaan LRT ini serta perancangan bas elektrik di Sarawak.

Penuh sinikal Chong berkata, hal tersebut seumpama membina istana di langit.

Abang Johari penuh beraksi mengumumkan bahawa LRT yang bakal dilaksanakan di Kuching dan kawasan sekitarnya, tidak akan menelan belanja mahal.

LRT Kuching Praktikal dan Telan Kos Murah

Ketua Menteri berkata, projek itu yang dibina selari dengan jalan raya tidak akan menelan belanja mahal seperti yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, dalam wawancara dengan Sarawak Voice di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya sempena setahun pemerintahannya, Abang Johari mendedahkan LRT yang dibangunkan hanya mempunyai empat gerabak dan tidak menggunakan landasan bertingkat yang sememangnya memakan kos yang tinggi.

Pembinaan LRT tersebut praktikal dan sesuai dengan jumlah penduduk bandar raya Kuching yang meningkat dari 700,000 menuju 1.2 juta penduduk dalam beberapa tahun akan datang.

Ini tidak termasuk kehadiran pelancong dan kehadiran individu yang transit keluar-masuk di bandar raya ini.

Semua perancangan pembangunan harus mendahului sedekad merealisasikannya dengan melihat unjuran masa depan dan futuristik sosioekonomi sesebuah negeri atau negara.

Abang Johari pernah mengambil contoh Estonia sebuah negara di Eropah yang hanya mempunyai 1.3 juta penduduk dengan ibu negerinya Tallinn hanya mempunyai 400,000 populasi, tetapi dapat memiliki sistem LRT di bandarnya.

Pembinaan LRT Idea Futuristik KM

Pemimpin yang bergaya haruslah seorang yang berjiwa futuristik melihat hal yang akan datang sebelum tiba harinya, kerana perancangan yang sempurna memerlukan perkiraan dari sudut kenaikan kos pembinaan serta kos hartanah yang melangit.

Langkah Abang Johari tepat dan betul dan seharusnya pendekatan yang betul disokong oleh pemimpin lain yang juga betul tanpa mengira penyokong atau pembangkang, kerana “sokongan yang betul pasti tidak membawa rebah”.

Lihat sini!

Tentulah berbeza dari segi kos bahan binaan, buruh dan hartanah ketika membina Jambatan Pulau Pinang pada 1985 menelan kos RM850 juta atau membangunkan KLCC pada 1999 menelan kos sekitar RM4.8 bilion.

Ketika itu, DAP sangat aktif dan vokal mengkritik langkah kerajaan yang dikatakan membazir misalnya dalam pembinaan jambatan Pulau Pinang.

Hari ini, jambatan awal Pulau Pinang tidak mampu menampung kapasiti keperluannya sehingga memaksa pembinaan jambatan kedua,  bahkan pembinaan terowong bawah laut demi menampung keperluan penduduk dan pembangunan yang meningkat drastik.

Kos 1985 atau 1999 berlipat kali ganda bezanya jika pembangunan tersebut ditangguh ke hari ini.

Sabar LRT Akhirnya Akan Dibawa Untuk Dibincang di DUN

Abang Johari dalam kenyataannya mengumumkan, kajian dan model LRT tersebut akan disiapkan suku pertama tahun ini dan dicadang untuk dibahaskan di Dewan Undangan Negeri.

Namun, seperti biasa Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jeng tidak dapat bersabar, selepas “menghentam” projek LRT, kini beliau mahu Ketua Menteri mendedahkan lebih banyak maklumat tentang projek itu, dan bukan sekadar menyatakan ia bakal siap dalam tempoh 10 tahun.

Persoalan di sini kenapa pula setiap langkah dan strategi perlu didedahkan satu-persatu memenuhi selera orang yang “ingin tahu” kemudian terdedah kepada “hentaman” terbuka berjiwa pembangkang.

Bukankah sebagai ahli DUN, ruang penjelasan dan peluang lebih luas akhirnya akan didapati juga di DUN kelak. Cuma kini ia memerlukan sedikit kesabaran untuk tibanya hari pembahasan secara demokratik itu.

Di situ kita melihat berapa orang yang akan mengangkat tangan menyokong gagasan bernas memajukan negeri seperti itu?

Sebagai rakyat biasa, lebih ramai yang mahu idea baharu yang dicetuskan Ketua Menteri itu meredakan kesesakan yang dialami pengguna jalan raya di bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya yang dikatakan mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak.

Kini Kota Samarahan turut mengalami kesesakan teruk dengan aktiviti manusia di tiga institusi pengajian tinggi di situ iaitu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), UiTM dan Institut Perguruan Tun Abdul Razak.

Rancangan perumahan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di kawasan terbabit mencekikan lagi masalah kesesakan.

Abang Johari bertanya, “adakah mereka fikir kerajaan negeri bodoh? Kita tahu apa yang kita buat. Ada alternatif lain yang lebih murah untuk membina LRT untuk rakyat di Sarawak,” katanya, sambil menegaskan antara alternatif ialah menggunakan hidrogen, dan bukannya elektrik, serta landasan tidak semestinya dibina di atas jalan seperti dilakukan di Lembah Kelang Semenanjung.

LRT Atasi Masalah Kesesakan, Lonjak Pelancongan, Tumbuhkan Bandar Baru, Jana Ekonomi

Yang pasti dengan beroperasinya LRT nanti, nilai hartanah di kawasan terbabit akan melonjak selain sektor pelancongan dipacu laju dan berdirinya bandar baharu yang menjana ekonomi negeri.

Dan di sebalik pembinaan stesen LRT ini akan pasti berlaku limpahan ekonomi baik dalam bentuk “spin effects”.

Yang penting pada masa yang sama kesesakan jalan di negeri ini dapat diatasi menjelang 2030, tatkala Sarawak mencecah status negeri maju berpendapatan tinggi dengan penduduk menjangkau 3 juta jiwa.

Dahulu, di DUN Sarawak Ke-18, Chong sendiri galak menggunakan istilah “hot air” sehingga menimbulkan “kekecohan”.

Peliknya Chong sendiri kehabisan kata-kata dan hilang gagasan dalam “udara panas”nya sendiri apabila tidak mampu memperjelas atau menakrif maksud istilah hot air yang digunakannya dalam sidang dewan itu! — Sarawakvoice