Bekalan air bersih dari sumber empangan dua tahun lagi. — Abang Jo

Bekalan bermula dari Batang Ai-Tanjong Manis

0
4

KUCHING: Sarawak akan memulakan proses pemasangan grid bekalan air luar bandar dalam tempoh dua tahun, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, fasa pertama kaedah terbaharu bekalan air luar bandar itu akan melibatkan jajaran Batang Ai hingga Tanjong Manis, dan diyakini akan dapat menangani isu kekurangan dan kekeringan air yang dialami oleh kebanyakan kawasan luar bandar di negeri ini.

“Kita telah memperuntukkan RM1 bilion untuk tujuan itu, yang dibiayai menerusi model pembiayaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bag Zon 4 yang melibatkan PBB Cawangan Sebuyau, Gedong, Lingga dan Beting Maro di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Muazam Shah.

Abang Johari berkata, sumber-sumber air ini kelak adalah daripada empat empangan yang sedia ada yang akan dizonkan.

Empat empangan ini ialah Batang Ai, Bakun, Murum dan Baleh.

“Pada hujung tahun ini, saya akan mengemukakan satu rang undang-undang berkaitan Lembaga Tasik.

“Kuat kuasa undang-undang ini termasuklah tentang kawasan sumber air, yang bermaksud kita mempunyai sumber air 24 jam.

Jelas Abang Johari, ketika ini Sarawak tidak mempunyai data pemetaan saluran air dan hanya bergantung kepada sumber air sungai.

“Sumber air sungai ini berisiko kerana terdedah kepada pencemaran, disebabkan oleh aktiviti perladangan.

Katanya, keperluan air ini juga amat mendesak untuk sektor pertanian, terutamanya bagi proses irigasi.

“Pertanian berkehendak kepada bekalan air juga,” jelasnya lagi yang yakin bekalan ini akan turut dimanfaatkan oleh kampung dan rumah panjang.

Sebelum ini, isu kekurangan air telah menyumbang kepada kelambatan perkembangan pertanian.

“Kita perlu tindakan yang drastik dan bukan ad hoc seperti yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya.

Bagi menjayakan projek rakyat ini katanya, kerajaan telah melantik perunding, yang kini sedang mengkaji kaedah pembekalan terbabit. — Sarawakvoice