Netanyahu gelojoh mahu AS pindah segera kedutaan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis

TIADA yang menggusarkan Israel apabila Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melalui Majlis Umum mengeluarkan resolusi Disember lepas membantah pengiktirafan Baitulmaqdis atau Jerusalem oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai ibu negara Israel.

Malah, Israel bukan sahaja tidak menghormati keputusan 128 negara yang mengundi resolusi PBB itu dengan 35 negara berkecuali, bahkan Israel menuduh Sidang Umum PBB sebagai “teater kaum absurd” dan “Rumah Penipuan”.

Sebelum ini sekutu Israel di PBB, negara kuasa besar AS memveto undian 14 negara pada Majlis Keselamatan PBB yang turut menolak pengiktirafan sepihak Presiden AS, Donald Trump.

Bahkan, apabila Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam sidang tergempar diketuai Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Ankara mengutuk tindakan AS dan Israel mahu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, “kami tidak kisah dengan semua kenyataan itu.”

Erdogan turut mengetuai OIC bertegas mengisytiharkan Baitulmaqdis Timur yang dikatakan dirampas oleh Israel pada 1967, menjadi ibu negara Palestin merdeka.

Selain mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, Trump turut mengemukakan usul untuk memindahkan kedutaan besar AS di Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Netanyahu sangat mengambil serius hasrat Trump memindahkan kedutaan besarnya ke Baitulmaqdis itu.

Ia dapat menjadi lambang sigifikan kepada muktamadnya kota suci tiga agama itu; Islam, Kristian dan Yahudi — agar hanya menjadi milik sah Israel.

Netanyahu bersikap gelojoh dan tidak dapat menahan sabar mengumumkan AS akan memindahkan kedutaan mereka pada tahun ini juga.

Perpindahaan Kedutaan Setahun

“Penilaian saya adalah (perpindahan) itu berjalan lebih cepat, dalam waktu setahun dari sekarang,” demikian lapor wartawan Israel yang menyertai rombongan rasmi Netanyahu melawat India pada Rabu, minggu lepas.

Ditanya tentang komentar yag dikemukakan Netanyahu itu, Trump memberitahu Reuters bahawa gambaran yang diberikan oleh Netanyahu itu tidak benar.

Trump menafikan AS akan memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis dalam tempoh setahun.

Sebaliknya Trump mempertahankan kenyataan terdahulu beliau bahawa AS mengambil masa tiga tahun memindahkan kedutaan mereka itu dari Tel Aviv.

Menteri Luar AS Rex Tillerson, bulan lalu menyatakan pemindahan kedutaan itu mungkin paling cepat mengambil masa tiga tahun ke depan.

Tillerson berkata, perpindahan memakan masa kerana ia berkaitan dengan logistik dan faktor mengamankan tapak suci tiga agama itu yang memerlukan diplomasi tinggi.

Sementara, pegawai di pejabat Netanyahu berdalih mengatakan Netanyahu menyedari bahawa pembangunan kedutaan baru akan memakan waktu bertahun-tahun, namun beliau percaya Washington mampu mempercepat tindakan mereka.

Mahu Kedutaan AS Beroperasi di Pejabat Sementara di Baitulmaqdis

Sebelum ini, media Israel percaya Duta Besar AS sedia untuk beroperasi di pejabat sementara di Baitulmaqdis sebelum bangunan kedutaan siap.

Netanyahu pada Khamis lepas tidak menarik kata-katanya yang percaya AS memindahkan kedutaannya tahun ini juga.

Beliau enggan melayan penafian Trump berkaitan perpindahan awal itu kerana bagi Netanyahu betapa penting dan signifkannya sokongan AS merealisasikan Baitulmagdis sebagai ibu negara Israel pada kadar secepat yang mungkin.

Memang jelas, tindakan Trump melangkaui pendirian AS yang sebelum ini tidak berani campur tangan menyentuh status Baitulmaqdis.

Baitulmaqdis termaktub dalam pendirian PBB sendiri bahawa tiada pihak dapat membuat keputusan berkaitan Baitulmaqdis tanpa restu kedua-dua pihak.