McDonald’s M’sia kini dimiliki syarikat Saudi, sediakan surau di semua premis

KUALA TERENGGANU: Selepas lesen untuk pasaran negara ini dimiliki syarikat Arab Saudi, Reza Food Services menerusi Lionhorn Pte. Ltd. pada 2017, rangkaian makanan segera McDonald’s Malaysia sedia mentransformasi premis sajiannya.

Antara perancangan McDonald’s ialah menyediakan surau di semua restoran baharu, termasuk mengubah suai restoran sedia ada di seluruh Malaysia bagi memudahkan pelanggan Islam menunaikan solat fardu di premis berkenaan.

Pengarah Operasi McDonald’s Malaysia Mohd. Fairul Maan dalam kenyataannya selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi wajah baharu McDonald’s Kuala Terengganu Pandu Lalu pada Sabtu, berkata setakat ini terdapat sekitar 15 restoran di seluruh negara dilengkapi surau.

McDonald’s Malaysia dibuka di negara ini pada 1982, memiliki 265 cawangan di seluruh negara dengan mengupah 15,000 tenaga kerja.

Lionhorn diterajui Sheik Fadh dan Abdulrahman Alireza dengan pelaburan RM1.4 bilion, berhasrat membuka 200 restoran baharu McDonald’s Malaysia dalam tempoh 10 tahun dan mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan. — Sarawakvoice