Wednesday, December 7, 2022

Musa Aman mahu bangunkan Sabah seindah Singapura, Dubai

Secara Rawak

KOTA MARUDU: Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berhasrat menjadikan Sabah seindah Singapura dan Dubai menerusi beberapa perancangan dan transformasi baharu termasuk Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED).

Beliau berkata pembangunan TAED dapat mencantikkan dan mentransformasikan lagi wajah bandar raya  Kota Kinabalu, sebagai ibu negeri Sabah, menerusi pembinaan hotel-hotel bertaraf antarabangsa serta pelbagai kemudahan lain.

“Hasrat saya besar, saya mahu, kalau boleh, Sabah seindah Singapura atau Dubai,” katanya ketika berucap pada perasmian Sekolah Menengah  Kebangsaan (SMK) Bandau di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak. Turut  hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

Musa berkata kerajaan Pusat turut memberi sokongan kepada kerajaan negeri dengan memberi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi menjayakan pembangunan itu di Sabah.

TAED merupakan projek mega yang dilaksana dan diselia oleh Tanjung Aru Eco Development Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah. Projek itu dijangka siap pada 2019.

Sementara itu, Musa berkata pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), yang dijangka siap akhir pada tahun ini, berupaya  menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sekali gus memacu pembangunan di negeri itu.

Mengenai pembangunan pendidikan di Sabah, beliau berkata agenda pendidikan merupakan tumpuan kerajaan negeri dalam usaha memastikan pembangunan modal insan Sabah yang lebih efisien.

Sehubungan itu, beliau melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Pusat khususnya perdana menteri kerana begitu prihatin dalam aspek pembangunan pendidikan di Sabah menerusi peruntukan besar termasuk membaiki sekolah daif di seluruh negeri.

“Kami di Sabah merasa amat terharu atas keprihatinan seorang pemimpin kepada Sabah, kepada anak-anak dan guru-guru sekolah di Sabah.

“Sudah tentu, dengan adanya pembaikan sekolah, sesi pembelajaran anak-anak dan guru sekolah menjadi lebih baik sekali gus mendorong kepada pencapaian cemerlang,” katanya. — Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru