Tuesday, June 28, 2022

Pelajar akui reka cerita palsu diculik akibat tertekan dipaksa belajar ibu bapa

Secara Rawak

AMPANG JAYA: Ekoran laporan polis berkaitan cubaan menculik pelajar Tingkatan Satu di sekolah menengah di Pandan Indah Jumaat lepas, siasatan polis mendapati kejadian tersebut hanyalah rekaan dari khayalan pelajar berkenaan.

Polis berkata, pelajar berusia 13 tahun membuat laporan palsu diculik tiga lelaki, dipercayai terlalu tertekan dengan desakan ibu bapa memaksanya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan ditegah banyak bermain.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias, siasatan mendapati pelajar tersebut mengaku dia mereka-reka cerita dan tiada penculikan berlaku.

Selepas mengaku membuat laporan polis palsu, remaja tersebut ditemani bapanya menarik balik laporan kejadian culik didakwanya itu.

Kisah penculikan yang dilaporkan pelajar itu menjadi tular di laman sosial.

Pelajar tersebut sebelum ini mendakwa diculik tiga lelaki ketika menunggu bas di Taman Pandan Indah untuk ke sekolah.

Kononnya semasa menunggu bas, mangsa dilaporkan dihampiri dua lelaki yang menariknya ke dalam van dipandu seorang lagi lelaki.

Mangsa mendakwa menggigit tangan seorang lelaki sebelum pemandu van memberhentikan kenderaan sekitar Pandan Jaya.

Sebaik membuka pintu van, mangsa menendang pemandu berkenaan dan melarikan diri sebelum menaiki bas pulang semula ke sekolah.

Dalam laporan tersebut, pelajar itu mengaku sejurus tiba di sekolah dia memberitahu kejadian dialami kepada guru sebelum pihak sekolah menghubungi ibu bapanya dan membuat laporan polis.

Menurutnya, pelajar berkenaan turut mendakwa cedera pada tangan kanannya selepas tersangkut kaca cermin di surau sekolahnya ketika berlari memasuki sekolah selepas bolos daripada penculik. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru