‘Ahli ekonomi jarang-jarang akan bersetuju antara satu sama lain. Itu sifat mereka’. Demikian kata seorang sahabat baik saya sedikit masa lalu yang juga seorang pakar ekonomi lulusan daripada sebuah universiti ternama di Amerika Syarikat.

Apabila diperhatikan perdebatan mengenai keadaan ekonomi Malaysia dalam media massa, media sosial dan forum akademik sejak akhir-akhir ini, apa-apa yang diucapkan itu saya dapati ada kebenaranya.

Agensi kerajaan diberi kuasa secara rasmi dalam pengumpulan data ekonomi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan angka yang positif mengenai ekonomi negara kita.

Misalnya, pada 7 Oktober 2017, Jabatan Perangkaan Malaysia membuat pelancaran Statistik Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia bagi tahun 2016. Pendapatan purata isi rumah dikatakan meningkat daripada RM6,141 pada tahun 2015 kepada RM6,958 pada tahun 2017, satu peningkatan sebanyak 6.2 peratus.

Tidak lama selepas itu,  BNM pula mengumumkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) untuk suku ketiga bagi tahun 2017 ialah sebanyak 6.2 peratus.

Kita turut dimaklumkan bahawa Bank Dunia telah sebanyak tiga kali meminda jangkaan pertumbuhan GDP Malaysia untuk tahun 2018. Perkara ini jarang berlaku.

Namun begitu, terdapat beberapa orang pakar ekonomi tempatan mengatakan bahawa ‘feel good factor’ berikutan dengan pertumbuhan tersebut  sebenarnya tidak dirasai atau dinikmati oleh masyarakat bawahan khususnya bagi golongan B40.

Golongan yang skeptikal dengan data rasmi ekonomi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan berpegang teguh kepada hasil kajian mereka yang berdasarkan sejumlah sampel yang dikutip daripada kawasan atau wilayah tertentu dan membuat generalisasi bahawa tahap ketidaksaksamaan (inequality) di Malaysia selama ini tidak berubah.

Menurut mereka, ko-efisien gini yang menjadi sasaran RMK 11, iaitu pada tahap 0.385 tidak dicapai. Bahkan perbezaan jurang pendapatan bagi golongan miskin semakin tinggi. Dengan kata mudah, pendapatan bagi golongan B40 sebenarnya tidak mengalami pertumbuhan.

“Penyumbang utama kepada semua masalah itu ialah kos sara hidup”..demikian kata pengarang buku ‘The Colour of Inequality’ iaitu Dr. Muhammed Abdul Khalid dalam satu sesi pembentangan akademik yang saya hadiri sebagai peserta.

Pendapat Dr. Muhammed Khalid mengenai situasi ekonomi negara menjadi viral sedikit masa lalu selepas muncul dalam satu rancangan televisyen bertajuk ‘Landskap’ yang disiarkan oleh RTM1 pada penghujung tahun 2017.

“Jika ekonomi kita berada dalam keadaan baik, kenapa nilai ringgit masih rendah berbanding dengan dolar Amerika?” tanya beliau pada pertengahan sesi pembentangan. Tetapi Dr. Muhammed tidak pula menjawab dengan menyakinkan soalan yang diajukan oleh moderator kepada beliau yang berbunyi, “di mana dalam dunia ini yang tidak mengalami kenaikan harga barang? Dan di mana di dunia yang menunjukkan jurang pendapatan semakin menguncup?”

Dari sisi lain, pakar ekonomi daripada UKM, iaitu Profesor Jamal Othman yang juga salah seorang panel dalam majlis yang dianjurkan secara tertutup itu berpendapat sebaliknya.

Mengikut beliau, secara umumnya Malaysia telah mengalami peningkatan dalam aspek pelbagai kesejahteraan dan kebajikan ekonomi hasil perlaksanaan pelbagai polisi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan sejak sekian lama.

Walau bagaimanapun, negara juga masih dalam proses mencari-cari apakah kaedah yang lebih sesuai untuk mengukur tahap kesejahteraan ekonomi dan kelastarian sumber.

Kaedah yang beliau anjurkan adalah ‘beyond GDP’ di mana sebagai gantinya ‘Genuine Progress Indicator (GPI)’ diperkenalkan.

Berdasarkan kajian yang beliau lakukan, antara tahun 1986 hingga 2014, GPI berada di atas aras GDP per kapita. Dalam bahasa mudah, tahap kesejahteraan dan kebajikan masyarakat di Malaysia secara umumnya mengalami peningkatan sepanjang 28 tahun yang beliau ukur.

Sekarang, antara dua pendapat ekstrem seperti diperkatakan oleh pakar-pakar ekonomi di atas, apakah pendapat para pembuat dasar dan orang awam di Malaysia?

Jika dikaji pengalaman di negara maju seperti di Eropah, negera Scandinavia dan Jepun, pakar ekonomi mereka membangunkan ‘penunjuk pendapatan minimum (minimum income standard)’ atau juga dikenali sebagai ‘reference budget’.

Petunjuk pendapatan minimum ini penting untuk memberi panduan kepada penduduk mereka khususnya di kawasan bandar mengenai tahap pendapatan yang diperlukan untuk hidup secara sederhana di sesebuah bandar.

Selain itu, petunjuk pendapatan minimum ini berguna kepada pembuat dasar untuk memantau tahap kebajikan penduduk mereka.

Jika sebahagian besar penduduk berpendapatan di bawah menunjukkan pendapatan minima, maka polisi boleh diperkenalkan bagaimana untuk memastikan kebajikan penduduk berkenaan tidak terus mengalami kemerosotan.

Malangnya perkara penting, tersusun dan strategik seumpama itu tidak pernah cuba dibangunkan oleh pakar-pakar ekonomi di negara kita. Dengan itu, pelbagai tafsiran terus diberikan untuk menganalisis petunjuk ekonomi sehingga masyarakat tidak dapat membezakan antara data yang menggambarkan realiti atau sekadar persepsi. — Sarawakvoice