Tuesday, October 4, 2022

59 kaki judi tidur lokap, Polis Sarawak mahu Kerajaan Tempatan semak lesen premis yang diserbu kerana aktiviti haram

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak melancarkan 41 serbuan terhadap premis judi sepanjang minggu lalu dan menahan 59 kaki judi atas pelbagai kesalahan.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, 23 daripada serbuan itu dilaksanakan oleh pasukan-pasukan daripada ibu pejabat kontijen yang bergerak di enam daerah pentadbiran polis.

“Sebanyak 16 daripada serbuan dilakukan di kedai serbaneka dan kedai kopi yang menawarkan perkhidmatan tambah nilai judi atas talian,” katanya pagi ini.

Jelas Dev, serbuan lain dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu (4); Miri (3); Kuching (2); Padawan (2); Sarikei (2); Bintulu (1); Sri Aman (1); Kota Samarahan (1), Betong (1) dan Limbang (1).

“Sebanyak 16 daripada serbuan ini berkait judi atas talian, yang dilaksanakan di tujuh daerah iaitu Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei dan Lubok Antu.

“Ia menghasilkan 26 penahanan yang melibatkan pembekal dan penjudi, serta rampasan terhadap 21 tablet dan telefon bimbit, selain tunai RM13,988.

Pasukan daripada ibu pejabat kontijen jelasnya, turut menyerbu tiga lokasi di Kota Samarahan, tiga premis di Sri Aman dan dua lokasi di Lubok Antu.

“Sebanyak 25 serbuan pula dilakukan terhadap penjualan loteri 4D haram di sembilan daerah, yang membawa kepada penahanan 33 individu serta rampasan wang tunai RM6,705.

“Kita turut merampas telefon bimbit, pencetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan dan alat tulis.

“Pasukan ibu pejabat  kontijen mengelolakan enam serbuan di Kuching, empat di Bau, tiga di Padawan dan masing-masing satu di Kota Samarahan and Sri Aman.

Daripada 59 individu yang ditahan, 32 adalah lelaki dan kesemua mereka berusia di antara 15 hingga 53 tahun.

Tiga remaja yang tercicir persekolahan merupakan antara yang ditahan kerana terlibat dalam penjualan kad tambah nilai judi atas talian.

Remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan di Bintulu manakala dua gadis berusia 16 tahun dicekup di Bau dan Kota Samarahan.

Kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Suka saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru pihak berkuasa tempatan agar menyemak semula lesen-lesen perniagaan premis yang diserbu kerana terlibat dalam aktiviti haram,” katanya. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru