294,000 rakyat Malaysia muflis

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang mengenai bilangan rakyat Malaysia yang terdorong ke arah bankrap atau berada diambangnya.

Lebih daripada suku juta – 294,000 rakyat Malaysia terlibat dalam kes bankrap.

Menurut Presiden CAP S.M Mohamed Idris, sebahagian besarnya disumbang oleh kegagalan untuk menyelesaikan pinjaman sewa beli, pinjaman kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan penjamin sosial.

Menurut laporan berita 2013, kebanyakan mereka yang bankrap adalah dalam kumpulan usia 35 hingga 44 tahun (34 peratus).

“Amat membimbangkan bahawa kira-kira 22,663 rakyat Malaysia di bawah usia 35 tahun dilaporkan bankrap daripada 2011 hingga September 2015. Mereka sepatutnya tidak tercemar oleh kebankrapan terutama sekali pada usia di mana mereka sedang membina kerjaya dan keluarga,” katanay dalam satu kenyataan.

Katanya, punca utama bankrap antara 2011 dan 2015 adalah disebabkan kegagalan bayaran pinjaman terutama sekali pinjaman pembelian kenderaan (28,374 kes; 27.94 peratus); pinjaman perumahan (21,697 kes; 21.36 peratus); pinjaman peribadi (20,727 kes; 20.41 peratus); dan pinjaman perniagaan (11,899 kes; 11.71 peratus).

“Pemilikan kenderaan di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di dunia dan niat untuk membelinya adalah yang tertinggi. Ia tidak menghairankan kerana sepertimana yang didedahkan dalam laporan berita, satu daripada empat orang yang mengalami bankrap adalah disebabkan oleh kegagalan membayar pinjaman kenderaan,” katanya.

“Ramai rakyat Malaysia cenderung untuk hidup di luar kemampuan mereka, dengan itu menjadikan mereka mudah terjejas kerana tidak mampu untuk membayar semula pinjaman mereka,”’ ujarnya.

Tambahnya, ini bukan hanya berlaku terhadap mereka yang mengambil pinjaman untuk membeli kenderaan tetapi juga untuk tujuan lain seperti mengambil pinjaman peribadi untuk membeli rumah, atau membiayai pendidikan tinggi.

Memburukkan lagi keadaan, katanya, terdapat 3.6 juta pemegang kad kredit di negara ini dengan jumlah hutang kad kredit RM36.9 bilion sehingga Jun 2017.

“Amat mengejutkan apabila tiga daripada lima orang lebih cenderung untuk menggunakan kad kredit walaupun keadaan ekonomi dan pekerjaan tidak menentu kerana ia membenarkan seseorang itu berbelanja lebih awal daripada pendapatan mereka dan kesannya amat berbahaya,” katanya.

“Dipaksa oleh keadaan, mereka ini mencari jalan dengan mengambil pinjaman di institusi kewangan jika mereka boleh tetapi bukanlah disebabkan oleh rekod kredit buruk mereka. Mereka juga mungkin beralih kepada Ah Long untuk mendapatkan pinjaman. Jika mereka berjumpa Ah Long untuk mendapatkan pinjaman maka mereka mendedahkan diri mereka sendiri kepada pelbagai masalah seperti kadar faedah yang tinggi, gangguan dan ancaman,” katanya.

Di samping mereka yang berada dalam perangkaan bankrap, terdapat anggaran 100,000 kakitangan awam yang berisiko menjadi bankrap pada 2017. Mereka bukanlah kumpulan pertama kerana sehingga 1 Mei 2017, kira-kira 3,000 orang daripada mereka sudah pun bankrap. 100,000 orang yang mungkin akan bankrap merupakan 6.25 peratus daripada anggaran 1.6 juta kakitangan awam di negara ini.

“Pemangkin kepada keadaan yang teruk ini ialah kewujudan lebih daripada 20 institusi kewangan dan koperasi yang menyediakan pinjaman kepada kakitangan awam. Pembayaran balik pinjaman adalah melalui pemotongan gaji bulanan mereka.

Walaupun ia adalah cara mudah untuk memperolehi semula pinjaman melalui pemotongan gaji secara automatik, kita perlu mengakui hakikat bahawa ia menggalakkan kakitangan kerajaan untuk berbelanja lebih daripada pendapatan mereka,” tambahnya.

“Situasi kakitangan awam yang terpaksa mengambil pinjaman dipersalahkan terhadap kos kehidupan yang semakin meningkat. Walaupun ia mungkin benar, mereka perlu belajar untuk hidup sederhana mengikut kemampuan mereka kerana dengan mengambil pinjaman ia hanya akan memburukkan lagi keadaan kerana mereka terpaksa membayar pinjaman dan kadar faedah yang mempunyai kesan kumulatif,” tegasnya.

“Kebimbangan kami ialah mengenai corak perbelanjaan rakyat Malaysia yang mendorong ramai daripada mereka menjadi bankrap atau hampir kepadanya,” kata Mohamed. – Sarawakvoice