MUKAH:  Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Lembaga Rumbia Sarawak bagi membantu meningkatkan industri rumbia di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan sedar industri rumbia juga penting di Sarawak kerana membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr. Annuar Rapaee untuk membuat penyelidikan tentang rumbia khasnya berhubung bagaimana tempoh matang tanaman  dapat dipercepat.

Katanya, rumbia pernah ditanam secara besaran dengan mewujudkan ladang rumbia di sini, tetapi selepas sekian lama ditanam, tempoh matang tanaman itu masih juga lambat.

“Berikutan itu, saya mencadangkan kepada Dr. Annuar untuk mencari saintis yang terbaik dari luar negara bagi membantu membuat kajian tentang tempoh matang tanaman itu.

“Sekiranya tidak cukup dana untuk tujuan itu, saya sebagai ketua menteri akan berusaha untuk mencarinya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Mukah di sebuah pusat peranginan terkemuka, 15km dari bandar semalam.

Johari yang juga Yang Dipertua Majlis Tertinggi PBB Sarawak berkata, beliau sedar tentang masalah rumbia kerana pernah mengetuai sebuah kementerian berhubung pembangunan perindustrian sebelum ini.

Katanya, punca sebenar yang menyebabkan rumbia lambat matang perlu dikaji, sama ada berhubung iklim atau faktor lain.

Pengumuman ketua menteri tentang persetujuan kerajaan untuk mewujudkan Lembaga Rumbia Sarawak adalah sebagai jawapan kepada cadangan dalam salah satu dari usul yang dikemukakan pada majlis itu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah mengemukakan usul itu dan tiga usul lain dalam ucapan aluannya.

Kepada perkara yang berkaitan dengan rumbia yang dikemukakan Fatimah, Abang Johari berkata kerajaan juga akan mempertimbang permohonan pekebun kecil rumbia dari daerah Dalat supaya tanah mereka diukur dan surat hak milik dikeluarkan.

“Tadi penduduk di Kampung Kuala Lama di sini juga memohon supaya lot tanah kediaman mereka diukur, dan saya bersetuju,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok.

Sebelum merasmikan mesyuarat perwakilan PBB itu, ketua menteri merasmikan majlis penyerahan van jenazah di Surau Darul Huda, Kampung Kuala Lama.

PBB Zon Mukah meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) N56 Dalat, N57 Tellian dan N58 Balingian, yang kesemuanya dalam kawasan Parlimen P213 Mukah.

Mesyuarat itu dilihat sebagai persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada tahun ini.

Turut hadir isteri ketua menteri  Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang, timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Mukah Tan Sri Dr Muhammad Leo Toyad, naib Yang Dipertua PBB, ADUN Tellian Yussibnsoh Balo, dan ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi. — Sarawakvoice