Tuesday, June 28, 2022

Gagal potong punca lelaki maut di jalan pesisir Miri

Secara Rawak

MIRI: Kerana gagal memintas kenderaan yang dipotong, seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 57 Jalan Pesisir Pantai, berhampiran Kampung Labau, dekat sini.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden berlaku sekitar jam 6 petang semalam, melibatkan dua buah kenderaan iaitu Perodua Axia dan Proton Iswara.

Mangsa yang memandu Proton Iswara katanya, sedang memandu dari Bintulu menuju Bekenu, sebelum memintas kenderaan lain di jalan tersebut.

“Bagaimanapun percubaan itu gagal, kerana mangsa tidak menyedari kehadiran Perodua Axia di laluan tersebut lalu bertembung.

“Impak kemalangan tersebut menyebabkan mangsa, yang dikenal pasti kemudiannya sebagai Micheal Nyuling, 44 tahun dari Sungai Penyirak, Sibuti maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.53 petang dan telah mengatur gerak sebuah jentera FRT dan ambulans EMRS, dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri.

“Setiba di lokasi pada jam 7.57 malam, pasukan mendapati pemandu kereta Proton Iswara tersebut tersepit lalu bertindak mengeluarkannya menggunakan peralatan menyelamat  “hydraulic rescue tool”.

“Operasi penyelamatan berlangsung lebih satu jam,” kata Ling Hii lagi.

Mangsa yang maut kemudian dibawa dengan kenderaan polis ke Unit Forensik Hospital Miri, manakala pemandu Perodua Axia dihantar untuk menerima rawatan di Jabatan Trauma dan Kecemasan hospital yang sama.

Kes kata Alexson, disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru