200,000 Bidayuh berdiri di belakang Abang Johari, sokong BN — Manyin

0
4

KUCHING: Masyarakat Bidayuh tidak pernah lupa jasa kerajaan selama ini yang berusaha memajukan mereka dalam pelbagai bidang.

Pada masa yang sama masyarakat Bidayuh masih memerlukan pembangunan bidang ekonomi dan prasarana seperti jalan raya, pendidikan dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air paip.

Justeru, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Michael Manyin Jawong menegaskan, pengundi Bidayuh di negeri ini terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Manyin berkata, lebih 200,000 kaum Bidayuh berdiri teguh di belakang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan menyokong penuh inisiatif ekonomi digital beliau dalam melonjakkan ekonomi Sarawak.

“Kaum Bidayuh harus membalas budi kerajaan BN pada PRU14 nanti, dan kita menjanjikan kemenangan bersih bagi BN di kawasan Bidayuh,” kata Manyin pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali Cawangan Parti PBB Zon 3 — Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semunja oleh Abang Johari pada Sabtu.

Manyin yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi ketika menyentuh berkaitan kempen pilihan raya berkata, komuniti Bidayuh setiap kali berkempen, mereka menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) bukan berdasarkan nama parti politik.

Hal ini menurut Manyin memberi jaminan memastikan kemenangan kepada semua kerusi majoriti Bidayuh pada setiap pilihan raya.

Manyin memberi contoh pada Pilihan Raya Negeri lepas, mereka memberi sokongan dan kerjasama bagi kerusi DUN Mambong yang mencalonkan Datuk Dr Jerip Susil sebagai calon langsung BN. — Sarawakvoice