LRT: Kita ada cara lain daripada Kuala Lumpur, kata Abang Johari

0
2

KUCHING: Sarawak akan mempunyai Sistem Aliran Ringan (LRT) yang berbeza daripada yang terdapat di Lembah Klang.

Dijangka beroperasi dalam tempoh sepuluh tahun lagi, Ketua Menteri berkata LRT itu nanti akan meredakan masalah kesesakan jalan raya dialami bandar raya ini dan kawasan sekitarnya ketika ini termasuk jalan raya di Kota Samarahan.

Mengakui Sarawak mempunyai pendekatan tersendiri dan berbeza, beliau berkata bahawa Sarawak tidak semestinya meniru LRT yang ada di Kuala Lumpur.

“Kita ada cara lain melakukannya,” ujarnya kepada pemberita ketika merasmikan Mesyuarat PBB Zon 3 semalam.

Datuk Patinggi Abang Johari yang menggagaskan idea itu sejak menjadi Ketua Menteri pada 13  Januari tahun lalu mengakui bahawa kesesakan jalan raya antara bandar raya ini dengan Samarahan semakin tenat.

Untuk rekod setiap hari pengguna jalan raya dari kedua-dua arah  berdepan masalah kesesakan teruk waktu puncak dan bertambah buruk waktu hujan dengan ada yang mengambil masa sehingga sejam setengah untuk sampai di destinasi.

Katanya, begitu ramai pelajar di Samarahan dengan adanya tiga institusi pengajian, iaitu Universiti Malaysia Sarawak, UiTM dan Institut Perguruan Tun Abdul Razak.

Rancangan perumahan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di kawasan terbabit mencekikan lagi masalah kesesakan.

“Jadi kita perlu merancang. Kita akan bina LRT gunakan tram dan hidrogen. Kita hanya perlu landasan,” katanya lagi.

Ramai menyokong idea bernas Abang Johari itu dan teruja untuk melihat sistem pengangkutan moden itu.

Dengan kesalinghubungan yang lebih baik ini akan menyaksikan lebih banyak kawasan pertanian yang berpotensi diterokai, katanya.

Ketika temu bual dengan SarawakVoice pada Rabu, Ketua Menteri  menjelaskan LRT itu nanti akan mampu menaikkan nilai hartanah di kawasan terbabit selain merancakkan pelancongan. — Sarawakvoice