Telaah sejam buku “Mentransformasi Sarawak: Pemikiran Terbaik Abang Johari” dapat gambaran setahun idea pemerintahannya

0
11

MENELAAH buku “Mentransformasi Sarawak: Pemikiran Terbaik Abang Johari” susunan Profesor Madya Dr Jeniri Amir sempena genap setahun Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjadi Ketua Menteri, dapat memberi gambaran yang mudah, jelas dan pantas berkaitan “perancangan besar” Ketua Menteri untuk perjalanan masa depan Sarawak seterusnya…

Pada hari ini, 365 hari yang sudah berlalu, Abang Johari mengambil alih tampuk kepemimpinan Sarawak sebagai Ketua Menteri menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang menghembuskan nafas terakhir, 11 Januari 2017.

Idea bijak penyunting Dr Jeniri, pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang juga penganalisis terkemuka berbekalkan pengalaman panjang beliau sebagai penulis prolifik selain sebagai kolumnis, menonjolkan konsep buku ini sedemikian rupa sesuai untuk generasi yang serba pantas dan lebat maklumat.

Katakan anda menelaah buku terbitan Prestige Borneo Productions ini dengan selamba selama 30 minit, anda sudah mendapat gambaran mudah pada gagasan dan garapan Abang Johari mengarkitek dan memprojekkan Sarawak bagi tempoh setahun pertama.

Dr Jeniri dalam prakata buku ini menulis: “Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memperkenalkan dan melaksanakan pelbagai gagasan dan dasar pragmatik sejak dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 13 Januari 2017.

“Sejak itu, beliau telah menyampaikan ratusan ucapan, tampil di banyak sidang media, dan memberi pelbagai komen tentang pelbagai isu.

“Abang Johari merupakan tokoh baharu yang menjadi kesayangan media kerana kelincahan dan kepintarannya mengungkapkan idea dengan kenyataan yang berani, menarik, dan mudah diingati.

Kalaupun tidak setengah hari membacanya, anda dianjurkan menelaah buku seumpama  “Never Give Up: Jack Ma In His Own Words” atau “99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin” ini, sekitar sejam.

Buku “Mentransformasi Sarawak: Pemikiran Terbaik Abang Johari” mempunyai edisi dalam bahasa Inggeris bertajuk “To Serve Sarawak: Abang Johari in His Own Words” yang juga disunting oleh Dr Jeniri.

Dalam tempoh satu jam memadai bagi pembaca mendapat gambaran yang jelas berkaitan pelan master atau perancangan besar Abang Johari untuk Sarawak, yang terbit daripada lontaran idea dan kata-kata bernas beliau.

Mengajar pembaca cara membaca buku ini dengan mudah; pertama bahagikan tema gagasan yang diketengahkan oleh pemikiran Abang Johari melalui kata-katanya.

Pembahagian dicadangkan seperti berikut:

i. Abang Johari sebagai Ketua Menteri

ii. Hubungan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan

iii. Hak Sarawak dalam MA63

iii. Ekonomi Sarawak, DBOS

iv. Telekomunikasi, IT, Ekonomi Digital, Sarawak Pay, e-Dagang, Big Data

v. LRT

vi. Hidroelektrik

vii. Sukan

viii. Perpaduan dan pemimpin kaum

ix. Lebuh raya Pan Borneo — sekadar mebuat beberapa pembahagian.

Bertolak dari situ pembaca dapat meneliti perancangan Abang Johari untuk Sarawak melalui kata-kata dari pemikirannya.

Sekadar mengutip beberapa kata-kata dari pemikiran terbaik Abang Johari daripada buku tersebut:

– “Saya akan berjuang sebagai Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak, tanpa mengira kaum. Saya ialah Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak, dan kepentingan rakyat Sarawak ialah keutamaan dan keprihatinan saya.”

– “Tujuan utama pembentangan usul MA63 adalah untuk mendapatkan kembali hak kita yang telah terhakis selama bertahun-tahun. Itu sahaja. Tiada lebih, tidak kurang.”

– “Saya berunding dengan Kuala Lumpur untuk mewujudkan bank kita – Bank Pembangunan Sarawak (DBos). Kita perlukan dana untuk projek kita, tetapi kita faham ia mengambil masa untuk KL mengagihkan dana tersebut disebabkan kerenah birokrasi. Tetapi kita tidak boleh menunggu lagi. Justeru adalah wajar menggunakan bank kita sendiri untuk industri-industri strategik; ia lebih pantas.”

-“Kita tidak mahu ketinggalan oleh kemajuan teknologi. Kita tidak mahu membiarkan peluang terlepas daripada genggaman. Kerana itulah saya mengambil langkah berani dengan melabur RM1 bilion daripada perbendaharaan negeri untuk membangunkan infrastruktur internet, di seluruh negeri. Tanpa infrastruktur internet yang mencukupi, aspirasi kita untuk membangunkan ekonomi digital di negeri ini tidak dapat dicapai.”

-“Teknologi adalah buta warna … ia tidak kisah sama ada anda Cina, Dayak atau Melayu. Apabila ekonomi diliberalisasi, semua orang akan mendapat manfaat. Tiada lagi diskriminasi kaum kerana ia bergantung kepada keupayaan anda untuk memberi nilai terhadap apa yang mahu anda lakukan. Bagi saya, perkara perkauman bukan isu penting kerana dengan teknologi, anda juga tidak tahu sama ada ia wujud atau tidak.”

– “Biarpun kita mempunyai banyak sumber, populasi kita sangat kecil. Oleh itu, kita memerlukan dasar yang membolehkan komuniti kita dapat mengembangkan perniagaan mereka. e-Dagang atau perniagaan digital ialah cara untuk menjangkau lebih ramai (pelanggan) hingga ke peringkat antarabangsa. Kita perlu terus meningkatkan dan menaik taraf kesalingsambungan ICT kita. Kalau tidak, sukar bagi kita untuk bersaing secara atas talian.”

– “Big Data Sarawak mungkin nampak kecil tetapi perjalanan seribu batu dalam pembangunan ekonomi digital Sarawak memerlukan langkah pertama. Pangkalan data kita kini masih kecil. Tetapi kita akan menyediakan kapasiti yang mencukupi untuk ia berkembang selari dengan perkembangan ekonomi digital. Big Data Sarawak akan menjadi aset strategik baharu untuk Sarawak pada tahun-tahun akan datang, dan Kerajaan Negeri Sarawak akan memilikinya. Sudah pasti kita akan terus memastikan data penting kita kebal dan tidak akan dapat diakses oleh musuh untuk mengelakkan sebarang salah guna.”

– “Sistem LRT. Saya mencadangkan bahawa struktur awal LRT harus bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan menuju Bandar Raya Kuching, Kota Samarahan, Damai, Kota Padawan dan Serian. Kita boleh membina apa sahaja yang sebenarnya diperlukan. Kita boleh memajukan hartanah yang diperlukan di sekitar stesen-stesen LRT ini berdasarkan konsep pembangunan TOD (Transit-Oriented Density). Sekiranya kita tidak mula membina LRT sekarang, kos tanah akan meningkat pada masa akan datang dan kita mungkin memerlukan lebih banyak jalan raya, lebih banyak lebuh raya dan lebih banyak jejantas untuk dibina dan ini akan menelan kos berbilion-bilion ringgit.”

– “Tidak perlu Sarawak untuk keluar dari Malaysia. Sebagai sebahagian daripada Malaysia tidak bermakna kita tidak boleh berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan kembali hak dan apa-apa yang kita miliki. Tidak ada masalah yang Kerajaan Persekutuan dan Negeri tidak boleh atasi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa terbuka untuk perbincangan…  Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) pernah berkata:

‘Kita Malaysia semalam, kita Malaysia sekarang, kita akan terus Malaysia esok dan kita Malaysia selamanya.”

Dr Jeniri selaku penyunting menulis: “Kutipan berkenaan mencerminkan inti pati dan kearifan perjalanan politik, pemikiran politik dan pendirian politik beliau.

“Pemikiran pemimpin baharu yang memiliki wawasan untuk membawa Sarawak ke era lebih dinamik, segar dan menjanjikan itu wajar difahami dan dihayati pemimpin politik, penjawat awam dan rakyat pada keseluruhannya.” — Sarawakvoice