Tahun 2018, tahun pelaksanaan Digital Sarawak, LRT, menuju pertumbuhan ekonomi 6 peratus — Abang Jo

KUCHING: “Tahun 2018 adalah tahun pelaksanaan terhadap perancangan yang dilakukan sepanjang 12 bulan lalu,” kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Rabu lalu.

Ada riak senyum pada wajahnya ketika ditanya tentang fokus beliau untuk waktu mendatang.

“Kita hendak laksanakan apa yang kita putuskan. Dalam kita menjayakan implementasi ini, sudah tentu ada idea-idea baharu.

“Umpamanya, selain mewujudkan Petroleum Sarawak atau Petros, kita juga mahu menukarkan landskap kawasan pesisir kita melalui aliran transit ringan (LRT).

Katanya, ia harus bermula dengan Kuching kerana satu pertiga daripada populasi Sarawak berada di Kuching.

Kuching kini didiami oleh lebih 700 ribu penduduk yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

“Pada masa yang sama, kita hendak gerakkan sektor perkhidmatan yang akan melonjakkan sistem pengangkutan awam dan perumahan,” jelasnya lagi.

Kerana itu tegasnya, Sarawak perlu mencapai pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak enam peratus setahun menjelang tahun 2030 untuk menikmati pendapatan tinggi.

Ketika ini Sarawak menikmati pertumbuhan sekitar 4 hingga 4.7 peratus setahun. — Sarawakvoice